KPM ambil serius laporan peningkatan kes rogol libat kanak-kanak

Iklan
Fadhlina (kiri) mendengar taklimat daripada Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof (kanan) ketika melawat ruang pameran selepas merasmikan Seminar dan Sudut Pemikiran Datuk Dr Siddiq Fadzil bertajuk Islah dan Tajdid Dalam Pemikiran Dato? Dr Siddiq Fadzil di Dewan Serbaguna Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) pada Selasa. Foto Bernama

KUALA KANGSAR - Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil serius berkaitan kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur yang meningkat secara konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Iklan
Iklan

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM lebih awal lagi telah mengambil langkah pencegahan terhadap isu berkenaan antaranya menjalankan kerjasama rentas kementerian bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) dengan melaksanakan advokasi berkaitan gangguan seksual.

Beliau berkata, antara langkah lain ialah menambah nilai garis panduan pengurusan gangguan seksual di institusi pendidikan serta latihan termasuk penekanan advokasi kepada semua guru.

Iklan

"Di peringkat sekolah biasa kita menegaskan semula tentang pengurusan antigangguan seksual, proses, aduan, tindakan yang mesti diambil dengan segera sebaik sahaja guru tahu tentang perilaku berkenaan.

"Jadi sebab itu saya fikir ketika ini komitmen daripada semua pihak, ibu bapa mesti memastikan keluarga itu selamat. Keluarga itu mesti selamat dulu, kemudiannya di peringkat sekolah biasanya kita akan menjadi tempat untuk menerima aduan-aduan itu,” katanya.

Iklan
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bahawa kes rogol membabitkan kanak-kanak bawah umur meningkat secara konsisten sejak beberapa tahun lepas.

Sehubungan itu, Fadhlina berkata, beliau percaya persiapan di peringkat sekolah adalah sangat penting, khususnya melatih guru, dan kesedaran yang perlu ada dalam kalangan guru selain tidak akan berkompromi terhadap isu serta pelaku terbabit.

Terdahulu, Fadhlina merasmikan program Seminar dan Sudut Pemikiran Dato’ Dr Siddiq Fadzil bertajuk"Islah dan Tajdid Dalam Pemikiran Dato’ Dr Siddiq Fadzil” di Universiti Sultan Azlan Shah di sini.

Beliau berharap seminar itu dapat menegaskan kembali beberapa aspek khususnya berkaitan isu 3R iaitu raja, agama dan kaum yang banyak dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Seminar berkenaan bertujuan mengenang jasa tokoh agamawan yang tidak asing dalam kalangan umat Islam di Malaysia khususnya di Perak, Datuk Dr Siddiq Fadzil yang meninggal dunia pada 31 Ogos 2021.

Allahyarham Siddiq mendapat pengiktirafan daripada kerajaan Perak apabila dilantik sebagai Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak bermula 1992 hingga 2000.- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!