Usaha SPRM perangi rasuah pertarungan dahsyat - Anwar

Iklan
Anwar. Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri menyifatkan usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi gejala rasuah sebagai pertarungan yang dahsyat.

Ini kerana kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Azam Baki dan warga SPRM turut berdepan dengan tohmahan dan serangan keselamatan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, budaya rasuah tidak boleh dipandang ringan di mana ia memerlukan usaha keras selain undang-undang kukuh serta politik yang jelas untuk membanterasnya.

"Saya percaya keluarga SPRM tahu bagaimana kadang-kadang mereka terpaksa hadapi serangan, tohmahan dan juga isu keselamatan dalam pertarungan ini, ia pertarungan yang dahsyat," katanya menerusi ucapan di Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di sini pada Selasa.

Iklan

Menurut Anwar, isu rasuah akan terus membengkak jika ia tidak dibendung dengan langkah-langkah yang sewajarnya.

"Sebab itu, saya hadir untuk berikan dokongan bagi pihak kedua timbalan perdana menteri dan menteri yang lain menzahirkan pendirian, bukan sekadar meluncurkan satu lagi strategi," katanya.

Iklan

Jelas beliau, meskipun puluhan strategi dan pelan pembanterasan rasuah dilancarkan sejak negara mencapai kemerdekaan, budaya rasuah masih berleluasa.

"Azam sebut angka yang menggemparkan kerana ia mencecah puluhan bilion ringgit setahun.

"Bayangkan pembasmian kemiskinan, sekolah-sekolah, prasarana rakyat, nasib nelayan dan petani, pekebun kecil getah, sawah padi, hampir semua boleh dibereskan jika kita boleh selamatkan negara dari kerakusan serta tamak haloba orang yang menggunakan kuasa mereka sama ada pemimpin politik atau penjawat awam," katanya.

Anwar berkata, kesungguhan dan tekad ikhlas diperlukan dalam usaha memerangi rasuah memandangkan ia merupakan satu dasar yang perlu bagi menyelamatkan negara dan rakyat.

"Jadi saya yakin, sebagai tunggak SPRM bersama badan penguatkuasaan, ambil ini sebagai tanggungjawab dan satu kekuatan baharu,” katanya.

NACS 2024-2028 menggariskan lima strategi melibatkan aspek pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat, penguatkuasaan selain ganjaran dan insentif.

Katanya, anak-anak harus dididik untuk membenci rasuah dan salah guna kuasa sejak di bangku sekolah.

"Di universiti dan kalangan rakyat, mesti ada program pendidikan meluas supaya ada sikap.

"Sekarang ini, orang rasuah, disebabkan dia kaya, bagi habuan, kita mesti cium tangan kerana tidak ada kesedaran.

"Kita solat, setiap tahun umrah, tetapi soal nilai hak dan batil, amal makruf dan mungkar tak dapat dibezakan.

"Sebab itu saya kata, peningkatan ilmu dan kefahaman sangat penting," katanya.

Menyentuh mengenai kebertanggungjawaban awam, Anwar berkata, ia bukan tanggungjawab SPRM mahupun Jemaah Menteri.

Sebaliknya kesedaran individu itu sendiri yang menolak terhadap sebarang unsur rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Beliau turut menempelak sikap segelintir yang mempertahankan individu terbabit di dalam rasuah dengan pelbagai alasan termasuk mengaitkan jasa dan sumbangan yang telah diberikan.

"Ini urusan kita, apakah mahu selamat atau biarkan?

"Setiap kali (SPRM) ambil tindakan kepada pembesar rasuah, ada yang merengek, mengeluh dan pertahankan dengan pelbagai alasan diberikan...Sudahlah, jangan berdendam, dia sudah tua, apa jenis manusia ini.

"Jadi, jika SPRM hendak ambil tindakan, ambil kepada sarjan, guru sahaja.

"Yang atas, jangan. Dia telah berkhidmat dan berjasa," katanya sambil mengucap tahniah kepada SPRM kerana mengambil tindakan tegas dan berani.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!