Dua maut kereta dinaiki empat sahabat terbabas

Iklan
Kereta dinaiki empat lelaki ini terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan dalam kemalangan dekat Jalan Meru pada Isnin.

KLANG - Kegembiraan empat sahabat ketika pulang dari minum bersama berakhir tragedi apabila dua daripada mereka maut setelah kenderaan dinaiki terbabas dalam kemalangan dekat Jalan Meru di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian kira-kira jam 4.55 pagi menerusi Bilik Gerakan IPD Klang Utara.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika kesemua mangsa berumur 22 hingga 30 tahun dalam perjalanan menuju ke rumah salah seorang daripada mereka yang terletak di Kampung Jawa, Klang setelah minum bersama di Kuala Lumpur.

"Siasatan mendapati dalam kejadian kira-kira jam 4.15 pagi itu, kereta jenis Perodua Bezza dinaiki kesemua mangsa terbabas sebelum melanggar batu pembahagi jalan di sebelah kanan.

Iklan

"Perodua Bezza berkenaan kemudiannya berpusing mengakibatkan pemandu terlibat tercampak keluar manakala penumpang hadapan tersepit di bahagian tempat duduk," katanya pada Selasa.

Katanya, kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian manakala dua lagi mengalami kecederaan.

Iklan

"Mayat dua mangsa yang maut kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Menurutnya, orang ramai yang melihat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Semakan mendapati kawasan kejadian tidak terdapat kamera litar tertutup (CCTV).

"Saksi kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Klang Utara Inspektor Surihan Samsudin di talian 013-2082327," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!