Kurang ambulan ketika pandemik dorong doktor wujudkan Ambulans Prihatin

Iklan
Dr Mohammed Hazimi (tengah) bersama antara pasukan perubatan Ambulans Prihatin.

SEMENYIH - Ketika pandemik Covid-19 melanda negara, kekurangan ambulans untuk mengangkut pesakit ke hospital telah mendorong Dr Mohammed Hazimi Abdul Razak mewujudkan inisiatif Ambulans Prihatin bagi membantu masyarakat yang memerlukan.

Ketika ditemui Sinar Harian baru- baru ini, Mohammed Hazimi yang juga Pengasas Pertubuhan Doktor Prihatin itu memberitahu, inisiatif tersebut mula tercetus selepas beliau sebelum ini menghadapi masalah mendapatkan ambulans untuk menghantar salah seorang pesakit di kliniknya yang memerlukan rawatan kecemasan di hospital.

Iklan
Iklan

"Ketika itu, saya cuba menghubungi hospital untuk mendapatkan khidmat ambulans. Bagaimanapun, ia tidak dapat disediakan kerana kesemua unit sedang digunakan untuk menangani banyak kes Covid-19 berkaitan varian Delta.

"Pesakit mungkin tidak boleh selamat dan akan mati kalau tunggu juga ambulans. Jadi, saya bersama pasukan perubatan bawa sendiri pesakit naik kereta dan bawa peralatan sokongan.

Iklan

"Kita pandu dan berhenti di balai polis minta tolong mereka iringi kenderaan kita dan terus ke hospital. Jadi pesakit itu akhirnya selamat dan pada waktu itulah saya rasa pentingnya keperluan ambulans,” katanya.

Dr Mohammed Hazimi ketika menunjukkan peralatan sokongan perubatan yang terdapat dalam Ambulans Prihatin.

Susulan daripada kejadian itu, beliau bersama-sama pasukan perubatan Pertubuhan Doktor Prihatin telah mengambil inisiatif sendiri mewujudkan Ambulans Prihatin ketika pandemik untuk membantu masyarakat memerlukan walaupun kekurangan tenaga kerja dan kewangan.

Iklan

Selain itu, Pertubuhan Doktor Prihatin katanya turut menyediakan perkhidmatan lain seperti konsultasi rawatan doktor, prosedur kejururawatan, pembersihan luka dan pengambilan sampel dan darah di rumah.

Kesungguhan Dr Mohammed Hazimi itu telah menarik perhatian umum apabila beliau menerima pengiktirafan Anugerah MyHero 4.0 yang dianjurkan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI).

"Sesungguhnya, pengiktirafan ini bukan hanya memberi semangat kepada saya dan warga Pertubuhan Doktor Prihatin, tetapi ia memberikan dorongan kepada para sukarelawan lain untuk menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan bantuan,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden KLSCCCI, Datuk Ng Yih Pyng berkata, program My Hero itu telah bermula sejak 2014 dan diadakan pihaknya setiap dua tahun sebagai penghargaan kepada ‘wira tidak di dendang’ yang telah memberi khidmat bakti kepada peningkatan kehidupan komuniti.