Cef maut motosikal langgar kerbau

Iklan
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggang melanggar seekor kerbau di Jalan Sungai Panching Timur pada awal pagi Selasa.

KUANTAN - Seorang cef sebuah hotel di sini maut selepas motosikal ditunggang melanggar seekor kerbau di Jalan Sungai Panching Timur di sini pada awal pagi Selasa.

Dalam kemalangan kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa Muhammad Firdaus Mohamad, 28, beralamat di Sungai Panching Timur disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha YZR-R15 dalam perjalanan dari arah Felda Panching Timur menghala ke arah bandar Kuantan.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengelak haiwan berkenaan yang berada di atas jalan lalu melanggarnya.

Iklan

"Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk proses bedah siasat.

Iklan

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!