Pertuduhan terhadap Muhyiddin jelas, tidak samar-samar - Mahkamah Rayuan

Iklan
Muhyiddin

PUTRAJAYA - Empat pertuduhan salah guna kuasa berhubung projek Jana Wibawa yang dikenakan terhadap bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah jelas dan tidak samar-samar, kata Mahkamah Rayuan dalam alasan bertulisnya yang dikeluarkan minggu lepas.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata, pertuduhan telah menyenaraikan semua butir-butir yang diperlukan bagi membuktikan kesalahan bawah Seksyen 23(1) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Iklan
Iklan

"Pada pendapat kami, butir-butir yang terkandung di dalam setiap satu dari empat pertuduhan tersebut adalah mencukupi untuk memberi notis kepada Muhyiddin mengenai perkara yang dia didakwa,” katanya dalam alasan keputusannya sebanyak 32 muka surat bertarikh 16 April tahun ini yang disiarkan di laman web Badan Kehakiman.

Beliau berkata, Muhyiddin tidak tertipu dengan apa cara sekalipun hanya kerana kekurangan butiran.

Iklan

Hakim Hadhariah berkata, oleh itu tidak ada keperluan bagi pihak pendakwaan untuk memberikan butiran lanjut tentang bagaimana kesalahan itu dilakukan.

Pada 28 Februari, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Hadhariah membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengembalikan semula pertuduhan yang sebelum ini dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Iklan

Dua lagi hakim ialah Datuk Azmi Ariffin dan Datuk SM Komathy Suppiah.

Dalam alasan keputusannya, Hakim Hadhariah berkata, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila beliau berpegang bahawa pertuduhan itu sebagai tidak jelas dan Muhyiddin telah diperdayakan.

Beliau berkata, kesemua empat unsur untuk kesalahan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia dinyatakan dalam pertuduhan.

Hakim Hadhariah berkata, Muhyiddin didakwa atas kapasitinya sebagai perdana menteri dan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) justeru itu memenuhi unsur pertama kesalahan bahawa dia adalah 'pegawai awam'.

Hakim Hadhariah berkata, unsur kedua kesalahan itu telah dinyatakan kerana pertuduhan juga mendakwa bahawa Muhyiddin telah menggunakan kedudukannya.

Bagi unsur ketiga dan keempat kesalahan itu, beliau berkata, pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhyiddin telah menyatakan perkataan suapan dan suapan itu adalah untuk sekutunya iaitu PPBM.

Muhyiddin, 76, sebagai Perdana Menteri dan presiden PPBM ketika itu telah didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd dan Datuk Azman Yusoff untuk pihak berkenaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin turut menghadapi dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun Bank CIMB Bersatu.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Bank CIMB Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral antara 25 Feb dan 16 Julai 2021 dan antara 8 Feb dan 8 Julai 2022.

Permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan kebenaran menyemak semula keputusan Mahkamah Rayuan pada 28 Feb untuk mengembalikan semula pertuduhan akan didengar oleh panel lima hakim Mahkamah Rayuan pada 9 Julai. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!