Assifuah terima tawaran selepas runding 48 jam

Iklan
Penyerang dari Ghana tersebut sudah serasi dengan kem Sang Kenari kerana beraksi bersama KDA FC B pada musim lalu. FOTO KDA FC

KEPUTUSAN untuk kembali menggunakan khidmat pemain import, Ebenezer Assifuah bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) adalah sebagai persediaan jika ada penyerang cedera pada musim 2024/25.

Pemilik majoriti kelab tersebut, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, penyerang dari Ghana tersebut sudah serasi dengan kem Sang Kenari kerana beraksi bersama KDA FC B pada musim lalu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengurusan gembira kerana Assifuah menerima tawaran selepas rundingan diadakan dalam tempoh 48 jam.

"Kami mencari pemain yang sudah biasa dengan pasukan seperti Assifuah kerana jika kita ambil pemain baharu ia akan mengambil tempoh masa lebih lama untuk menjalin keserasian dalam pasukan," katanya mengulas pengumuman Assifuah sebagai pemain terakhir KDA FC diumumkan pada Sabtu lalu.

Iklan

Jelasnya, pemain tersebut kini dalam persiapan untuk datang ke Alor Setar namun dijangka terlepas aksi pertama Liga Super pada petang Sabtu ini menentang PDRM FC.

"Dia agak terkejut dengan tawaran ini dan perlu menguruskan hal keluarganya sebelum datang kembali ke sini.

Iklan

"Dia dijangka sampai ke Kedah selepas perlawanan pertama Kedah dalam Liga Super nanti," ujar beliau.

Mohd Daud berkata, Assifuah akan beraksi sebagai pemain sokongan kepada penyerang utama kelab itu Syafiq Ahmad dan Milos Gordic.

"Kita melihat kecederaan mungkin boleh berlaku pada mana-mana pemain dan hanya bahagian penyerang sahaja yang belum ada pemain sokongan.

"(Menuju tarikh tutup pendaftaran pertama Liga Malaysia 2024-2025) ini mendorong kami mencari seorang pemain yang memiliki kualiti yang hampir sama dengan penyerang utama," katanya lagi.

Tambahnya, KDA FC juga tidak mahu Syafiq keseorangan jika Milos tidak dapat beraksi dan Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain perlu mencari pemain di posisi lain seperti Sony Norde untuk mengisi tugas penting di bahagian serangan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!