Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Iklan
Pada 9 pagi Isnin, ringgit naik kepada 4.7330/7400 berbanding dolar AS daripada 4.7370/7400 pada Jumaat lepas. Gambar hiasan

RINGGIT terus mencatatkan aliran meningkat dari Jumaat lepas untuk dibuka tinggi hari ini dalam persekitaran dolar AS dan hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) yang rendah, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit naik kepada 4.7330/7400 berbanding dolar AS daripada 4.7370/7400 pada Jumaat lepas.

Iklan
Iklan

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit akan berada dalam kedudukan yang lebih baik hari ini berikutan data senarai gaji bukan ladang (NFP) AS yang lebih rendah daripada jangkaan pada Jumaat lepas.

"Data tersebut menyokong pandangan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka menurunkan kadar pada tahun ini.

Iklan

"Ini akan memberikan sokongan kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun termasuk ringgit,” katanya kepada Bernama.

Dilaporkan bahawa hasil Perbendaharaan AS merosot sebanyak tujuh mata asas kepada 4.5 peratus pada Jumaat lepas selepas laporan pekerjaan AS pada April menunjukkan pertumbuhan senarai gaji yang lebih rendah daripada jangkaan dan peningkatan yang tidak dijangka dalam kadar pengangguran.

Iklan

Pada sesi pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0850/0900 daripada 3.0947/0968 pada Jumaat lepas, mengukuh berbanding pound kepada 5.9404/9492 daripada 5.9487/9525, bagaimanapun rendah berbanding euro kepada 5.0960/1036 daripada 5.0890/0922 sebelum ini.

Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding baht Thailand kepada 12.8702/8969 daripada 12.8723/8850 pada Jumaat lepas dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 294.2/294.8 daripada 294.4/294.8 sebelum ini.

Ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.5051/5106 daripada 3.5027/5054 pada Jumaat lepas dan rendah berbanding peso Filipina kepada 8.27/8.30 daripada 8.25/8.27 pada minggu sebelumnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!