Rumah orang-orang tua perlukan bangunan baharu

Iklan
Mohd Azhar bersama Ahmad (kanan) menyantuni penghuni Pekita sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pekita di Taman Kinta Perdana, Lahat pada Ahad.

IPOH - Kerajaan negeri diminta memberi keutamaan dan menyegerakan proses guna tanah yang diluluskan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tujuan bina bangunan rumah kebajikan orang-orang tua.

Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, kelulusan tanah seluas kira-kira 0.8 hektar di Ara Payung, Batu Gajah itu telah diberikan kepada Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-Orang Tua Islam Titian Abadi (Pekita).

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, pengurusan pertubuhan itu berdepan kekangan untuk meneruskan projek pembangunan termasuk membuat pembiayaan yang disebabkan faktor pemilikan.

"Terbantutnya kerana ada isu sedikit. Mereka berasakan tanah itu boleh diusahakan, tetapi masih lagi atas nama pihak kerajaan. Jadi sukar nak dapatkan pinjaman dan sebagainya.

Iklan

"Saya merayu kepada kerajaan negeri untuk melihat dan mempertimbangkan permohonan ini seperti yang dikemukakan lama dahulu. Saya difahamkan, Menteri Besar pun tahu perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pekita di Taman Kinta Perdana, Lahat pada Ahad.

Iklan

Mohd Azhar berkata, sejak lebih 13 tahun lalu, Pekita yang kini mempunyai 25 penghuni berusia antara 57 hingga 86 tahun masih lagi beroperasi di sebuah rumah yang disewa.

Katanya, keadaan itu sedikit sebanyak menyukarkan pihak pengurusan menambah bilangan penghuni yang semakin meningkat setiap tahun.

Mohd Azhar (tengah) menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pekita di Taman Kinta Perdana, Lahat pada Ahad.

"Memang bukan mudah untuk menguruskan orang-orang tua yang dihantar ke sini kerana ada sebahagiannya telah terlantar, tetapi mereka masih dapat menguruskannya dengan baik sekali.

"Setiap bulan, ada sahaja lawatan pemeriksaan daripada pihak berkuasa untuk melihat dari segi kebersihan, kebajikan penghuni dan sebagainya.

"Apabila dapat didirikan pusat penjagaan sendiri kelak, saya yakin hal ehwal kebajikan mereka yang telah berusia dapat dijaga dengan lebih baik dan sejahtera," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pekita, Ahmad Wan Chik berkata, sambutan rumah terbuka Aidilfitri merupakan acara tahunan yang diadakan bagi memberi keceriaan kepada penghuni.

Ujarnya, menerusi majlis itu, waris, ahli keluarga dan saudara mara terdekat penghuni turut dijemput dengan harapan kehadiran mereka memberi makna besar kepada penghuni.

"Macam-macam pengalaman pahit dan manis dalam menjaga orang-orang tua ini. Alhamdulillah, berkat semangat diberikan semua pihak, kita dapat bertahan sehingga 13 tahun ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!