Sabah juara Piala SMJ 2024

Iklan
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Abdul Kassim Razali menyampaikan Piala SMJ kepada Kapten Sabah FC, Park Tae-su(kiri) selepas menewaskan KL City FC 1-0 di Stadium Likas.

SABAH FC melaungkan amaran awal sudah bersedia menggegarkan Liga Super 2024/25 selepas muncul juara Piala Sabah Maju Jaya (SMJ) 2024 setelah menewaskan Kuala Lumpur City (KL City) FC, 1-0 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, pada Ahad.

Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-63 menerusi sepakan penalti Ramon Machado yang diberikan pengadil Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah selepas penyerang dari Brazil itu dijatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti.

Iklan
Iklan

Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, kemenangan itu memberikan suntikan semangat buat pemainnya, bagaimanapun masih banyak yang perlu diperbaiki serta ditingkatkan menjelang perlawanan pertama Liga Super menentang Penang FC pada 12 Mei ini.

"Perlawanan sengit, intensiti tinggi dan ini penting untuk kita bawa ke perlawanan (Liga Super) pada minggu depan.

Iklan

"Banyak kita pelajari kelemahan, kekuatan, kecederaan dan pemain diberikan peluang bermain, harap pemain pulih menjelang minggu depan," katanya kepada pemberita.

Pada masa sama, Kim Swee berkata, masih terlalu awal untuk menentukan kesebelasan utama dan strategi bagi aksi pertama Liga Super nanti, namun input daripada Piala SMJ 2024 akan digunakan sebaiknya untuk mempersiapkan skuad The Rhinos itu.

Iklan

Sementara itu, pengendali KL City, Miroslav Kuljanac berkata, secara keseluruhan beliau gembira dengan prestasi pemain dalam kejohanan itu.

Kata Miroslav, pihaknya meraih maklumat berguna bagi persiapan pasukan untuk berdepan perlawanan Liga Super bertemu Kuching City FC, pada 12 Mei ini.

"Pemain bermain dengan baik, taktikal okay. Kesebelasan utama untuk Liga Super belum kami tentukan. Kami ada idea untuk taktik, strategi dan formasi tapi kami akan buat penilaian terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, satu lagi kelab Liga Super, Kuching City merangkul tempat ketiga apabila menumpaskan Hougang United FC 2-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat di stadium sama.

Gol Kuching City masing-masing dijaringkan Mohd Alauddin Farid pada minit ke-18 dan Jordan Mintah pada minit ke-43.


INFO

Piala Sabah Maju Jaya (SMJ)

Juara

Sabah FC bawa pulang RM15,000 berserta Piala SMJ

Naib Juara

Kuala Lumpur City FC bawa pulang RM10,000

Ketiga

Kuching City bawa pulang RM5,000

Keempat

Hougang United bawa pulang RM3,000