Bangkit semula selepas gagal

Iklan
Shafinaz Ainaa menunjukkan kuih kapit durian dan menjadi antara perisa kegemaran pilihan pelanggan.

KUALA SELANGOR - Seorang pengusaha kuih kapit tidak pernah kenal erti putus asa meskipun terpaksa menanggung kerugian mencecah belasan ribu ringgit.

Situasi getir itu dilalui pengusaha kuih tersebut, Shafinaz Ainaa Muslim, 39, selepas perniagaan eksport makanan tradisional itu ke China terpaksa dihentikan akibat pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik itu menjejaskan perniagaan atas nama Ratu Kapit Station yang diusahakannya sejak tahun 2017.

Namun, bagi Shafinaz Ainaa itu tidak menghalang dirinya untuk bekerja keras dan meneruskan perniagaan itu yang menjadi sumber rezeki mereka sekeluarga.

Iklan

"Pada waktu itu, perniagaan kuih kapit saya baru sahaja hendak menembusi pasaran eksport ke China pada tahun 2020, namun semua impian itu tidak jadi kenyataan.

"Sebanyak 5,000 balang kuih kapit yang berada dalam kontena semuanya terpaksa return semula akibat masalah penghantaran ke China,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Iklan

Bagaimanapun ibu kepada empat anak itu tidak sesekali pernah mengalah dan cekal selain menganggapnya sebagai ‘rencah’ dalam perniagaan.

"Dalam fasa saya ingin mengembangkan perniagaan, negara pula dilanda pandemik Covid-19.

Shafinaz Ainaa melayan pelanggan yang singgah di pusat jualannya di Pasir Penambang, Kuala Selangor.

"Pada masa itu, ekonomi masyarakat banyak terjejas termasuklah saya, namun untuk terus mengalah tidak sesekali asalkan perniagaan ini dapat diteruskan,” ujarnya yang mengusahakan perniagaan itu di Pasir Penambang di sini.

Bercerita lanjut tentang perniagaan kuih kapit, Shafinaz Ainaa memaklumkan, semuanya itu tercetus selepas dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebagai penjawat awam.

"Saya mulanya berat mengambil keputusan ini, tetapi waktu itu banyak perkara yang perlu diutamakan.

"Pada masa sama, saya juga tidak boleh duduk diam, sebaliknya sentiasa memikirkan bagaimana ingin mencari punca rezeki lain,” kata anak kelahiran Gombak itu.

Tambahnya, pada mulanya dia hanya mengusahakan kuih kapit di rumah dengan menggunakan resipi ibu mentuanya.

Aneka kuih kapit yang dijual di pusat jualan Ratu Kapit Station di Pasir Penambang, Kuala Selangor.

"Lama kelamaan perniagaan ini semakin berkembang dan kami membuka pusat jualan untuk membolehkan pelanggan yang melalui jalan persekutuan singgah ke sini.

"Saya tidak menyangka perniagaan ini yang mulanya hanya sekadar untuk kecil-kecilan dan dijual kepada penduduk setempat semakin berkembang dan mendapat permintaan ramai,” tambahnya.

Di sebalik menjalankan perniagaan secara terus kepada pelanggan dan menggunakan khidmat ejen, Shafinaz Ainaa turut menjadikan platform media sosial untuk melebarkan lagi perniagaannya.

Jelasnya, ketika ini dia menggunakan khidmat pemasaran secara digital sekali gus memudahkan lagi penyampaian maklumat dan pengiklanan produk.

"Kita tidak boleh sekadar menjual di pusat jualan sahaja, sebaliknya kena mempelbagaikan variasi perniagaan termasuk kaedah jualan secara dalam talian,” ujarnya lagi.

Menurut Shafinaz Ainaa, pelanggan tidak lagi hanya mencari kuih kapit pada musim perayaan sahaja, sebaliknya untuk makanan kudapan serta sebarang majlis.

"Cara pembuatannya juga mudah kerana ia menggunakan tepung beras, santan dan gula selain mampu bertahan sehingga enam bulan,” katanya.

Produk kuih kapit yang turut mendapat pensijilan dan perakuan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu tampil dengan aneka perisa dan hiasan yang menepati selera kontemporari.

Tidak hairanlah sehingga kini, sebanyak 18 perisa kuih kapit dihasilkannya bagi memenuhi selera pelanggan yang pelbagai.

"Kita mempunyai pelbagai perisa kuih kapit antaranya perisa durian, coklat kacang tabur, mentega kacang, red velvet dan roll matcha,” tambah beliau.

Katanya, sehingga kini, sebanyak 100 balang kuih kapit dapat dihasilkan dalam sehari dan mampu meraih jualan sebanyak 20,000 balang sebulan.

"Pembuatan kuih kapit beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang dan ketika ini saya dibantu empat pekerja yang secara tidak langsung dapat menambah pendapatan rakyat yang tinggal berhampiran,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!