Pasangan suami isteri warga emas maut kereta bertembung

Iklan
Keadaan kenderaan mangsa yang remuk selepas bertembung dalam kejadian kemalangan di Kilometer 25 Jalan Beaufort- Sipitang pada Ahad
BEAUFORT - Pasangan suami isteri warga emas maut selepas kereta yang dipandu bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kejadian di Kilometer 25 Jalan Beaufort- Sipitang dekat sini pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, lelaki berusia 69 tahun dan dan isterinya berusia 64 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi tersebut.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintenden Ismail Abdullah berkata, kemalangan melibatkan Toyota Unser dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi yang warga emas terbabit dalam perjalanan dari Sipitang menuju ke Beaufort.

"Pasangan suami isteri warga emas terbabit disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan manakala dua lagi mangsa di dalam Toyota Unser hanya mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menjalankan operasi mengeluarkan empat mangsa tersepit dalam kenderaan masing-masing.

"Terdapat empat mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dan pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut memberi rawatan awal kepada dua mangsa cedera sebelum diserahkan kepada pihak ambulans," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!