Pesawat ringan terhempas: Nahas berlaku ketika cuaca berkabus

Iklan
Mohd Hasni (Laporan Sinar Harian)

TANJUNG MALIM - Faktor cuaca menjadi antara punca berlakunya nahas pesawat ringan terhempas yang mengakibatkan dua individu cedera di sebuah ladang dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Besout, Sungkai dekat sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, semasa kejadian, pihaknya difahamkan kawasan hutan tersebut dilitupi kabus.

Iklan
Iklan

"Bagaimanapun punca sebenar kejadian akan diketahui sebaik siasatan selesai dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU)," katanya ketika dihubungi pemberita pada Ahad.

Dalam nahas pesawat CESSNA 172 Skyhawk dengan pendaftaran 9M-ADA pada jam 9.35 pagi itu, juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea, 26, mengalami patah kaki kanan manakala pelatih juruterbang, Le Ho Jia, 20, cedera di muka.

Iklan

Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang menjalani latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh ke Tanjung Karang, Selangor dan berpatah balik ke Ipoh.

Mohd Hasni berkata, bangkai pesawat masih belum dibawa keluar dari lokasi nahas bagi memberi ruang siasatan terperinci dijalankan.

Iklan

"Siasatan kes ini akan dilakukan BSKU bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan syarikat pengendali pesawat tersebut," katanya.

Beliau turut memberitahu, tiada individu atau saksi yang dipanggil untuk dirakam percakapan berhubung nahas terbabit setakat ini.

Katanya, juruterbang dan pelatih wanita yang cedera dalam kejadian itu pula telah dipindahkan ke hospital lain bagi rawatan lanjut.

"Mereka mendapatkan rawatan awal di Hospital Slim River dan telah dipindahkan ke hospital swasta di Kuala Lumpur dan Ipoh untuk pemeriksaan susulan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!