MoU bernilai RM8.1 bilion dijangka dimeterai dalam DSA, NATSEC Asia 2024

Iklan
Mohamed Khaled (duad dari kanan) bersama Saifuddin Nasution (dua dari kiri) melihat persiapan terakhir pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 di MITEC pada Ahad.

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri serta Kementerian Pertahanan akan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM8.1 bilion dengan pemain-pemain industri pertahanan dalam Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024.

Jumlah itu merupakan sasaran dua kementerian terbabit dalam memastikan sistem dan aset keselamatan serta pertahanan negara dalam keadaan terbaik dan relevan dengan cabaran global pada masa ini.

Iklan
Iklan

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akan terlibat dalam kontrak dan memeterai MoU berjumlah RM6 bilion dalam pameran dwi tahunan itu.

"Kita sudah mengenal pasti beberapa kontrak dan perjanjian yang akan ditandatangani bagi pihak Kementerian Pertahanan," katanya dalam sidang akhbar di sini, pada Ahad.

Iklan

Sebelum itu, Mohamed Khaled bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melihat persiapan terakhir pameran tersebut di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa (MITEC) di sini.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, sebanyak 14 perjanjian dan kontrak bernilai RM2.1 bilion dijangka dimeterai oleh Kementerian Dalam Negeri dalam pameran tersebut.

Iklan

"Selain itu, kita memberi fokus dan libat urus terhadap isu membabitkan keselamatan siber.

"KDN akan membawa beberapa tetamu dari delegasi antarabangsa dalam perbincangan berkenaan topik itu," katanya.

Secara keseluruhan, sebanyak 1,324 syarikat mengambil bahagian dengan penglibatan daripada 60 negara dalam DSA dan NATSEC Asia 2024 yang bermula Isnin hingga Khamis ini.

Edisi kali ini menyaksikan kumpulan pavilion negara terbesar adalah dari Turkiye, China, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Itali dan Amerika Syarikat.

Selain itu, keluasan tapak pameran pada tahun ini adalah 30 peratus lebih besar berbanding edisi sebelumnya yang meliputi seluas 48,000 meter persegi.

Pelbagai teknologi seperti sistem elektronik, simulator, sistem senjata dan peluru, sistem marin, platform penerbangan, sistem tanpa pemandu, sistem peluru berpandu serta platform kenderaan berperisai akan dipamerkan.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan telah menandatangani 54 kontrak dan MoU pertahanan bernilai RM4.6 bilion dalam pameran DSA dan NATSEC edisi ke-17 pada 2022.

KDN pula telah memeterai satu MoU dan lapan kontrak keselamatan bernilai RM2.596 bilion.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!