Arab Saudi, Maghribi, Mesir gesa gencatan senjata di Gaza

Iklan
Kematian melibatkan rakyat Gaza susulan serangan Israel semakin meningkat. Foto AFP

ANKARA - Arab Saudi, Maghribi dan Mesir pada Sabtu menggesa supaya satu gencatan senjata dengan kadar segera dilaksanakan di Gaza yang diserang secara berterusan oleh Israel, menurut Agensi Anadolu.

"Isu Palestin kekal sebagai satu keutamaan bagi umat Islam, mencerminkan suara masyarakat Islam dalam menyokong saudara mereka di Palestin bagi memastikan mereka mempunyai akses terhadap hak mereka," kata Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan bin Abdullah Al Saud di Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Ke-15 yang berlangsung di ibu negara Gambia, Banjul.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sejak serangan dilancarkan, Kerajaan Arab Saudi telah bekerjasama dengan sejumlah pihak dan negara untuk melindungi penduduk Gaza.

"Serangan Israel masih berterusan malah ditingkatkan terhadap orang awam, hospital, sekolah dan prasarana, mengakibatkan ribuan penduduk menjadi mangsa,” kata menteri itu.

Iklan

Beliau berkata, Arab Saudi menegaskan permintaannya supaya satu gencatan sejata segera dan berkekalan di Gaza dapat dilaksanakan dan mengulangi gesaan supaya laluan selamat disediakan untuk mengurangkan penderitaan rakyat Palestin.

Raja Maghribi Raja Mohammed VI dalam titahnya menzahirkan, gesaan baginda supaya serangan berterusan ke atas Gaza yang tidak pernah berlaku sebelum ini dihentikan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan sampai ke seluruh Gaza.

Iklan

"Kami menegaskan permintaan kami supaya serangan berterusan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dihentikan dengan segera, dalam jangka masa panjang dan menyeluruh untuk membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan di seluruh Semenanjung Gaza,” titah baginda.

"Hati kami luka dan berdarah di atas serangan kejam ke atas Gaza yang menempatkan warga Palestin dalam keadaan yang amat berbahaya, yang memalukan kemanusiaan,” titah Raja Mohammed.

Raja Mohammed bertitah:”Apa yang memburukkan lagi keadaan ialah peningkatan serangan daripada pelampau dalam kalangan peneroka Israel di Tebing Barat di bawah naungan pegawai Kerajaan Israel.”

Dalam titah baginda, Raja Mohammed meminta tindakan unilateral dan menyalahi undang-undang Israel menyasarkan wilayah Palestin yang diduduki termasuk Baitulmuqaddis dan Masjid Al-Aqsa dengan tujuan untuk mengubah status kebudayaan dan perundangan Baitulmuqaddis, dihentikan.

Anadolu melaporkan Raja Mohammed menegaskan penolakan baginda terhadap semua bentuk pengusiran secara paksa, hukuman secara kolektif dan tindak balas terhadap rakyat Palestin.

Menteri Luar Mesir, Sameh Shoukry pula memberi amaran bahawa penolakan Israel terhadap keamanan akan mengheret keseluruhan rantau ini dalam ancaman yang tidak pernah dihadapi sebelum ini.

Shoukry menggesa pelaksanaan keputusan Majlis Keselamatan dan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya gencatan senjata dilaksanakan dengan segera di Gaza,selain daripada memudahkan penghantaran bantuan kemanusian ke sana.

"Mesir memberi amaran sekeras-kerasnya terhadap percubaan Israel untuk menawan Rafah, penempatan terakhir 1.5 juta pelarian Palestin,” katanya.

Beliau meminta satu pendirian tegas terhadap ilusi menyelesaikan isu Palestin menerusi pengusiran secara paksa warga Palestin dari Tebing Barat dan Gaza, diambil.

Beliau menegaskan tiada alternatif kepada penubuhan sebuah negara Palestin merdeka mengikut sempadan pada 4 Jun 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya dengan resolusi antarabangsa yang sah bagi memastikan kestabilan di Timur Tengah.

Shoukry berkata: ”Barangkali dengan peluasan skop semasa konflik di Laut Merah dan rantau ini merupakan petunjuk terbaik bahawa pendekatan Israel menolak keamanan akan mengheret keseluruahn rantau ini kepada ancaman yang tidak pernah dialami sebelum ini.”

Sidang Kemuncak OIC bermula pada Sabtu di Banjul, Gambia.

Persidangan selama dua hari itu dengan tema"Meningkatkan Perpaduan dan Solidariti menerusi Dialog untuk Pembangunan Mampan” bagi menangani isu global terutamanya keadaan di Palestin dan serangan berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza yang telah mengorbankan lebih 34,600 orang.

Pada persidangan itu tiga dokumen utama - draf resolusi Palestin, draf kenyataan Banjul dan draf dokumen akhir akan dibawa kepada Majlis Menteri Luar dan seterusnya dibincangkan dalam sidang kemuncak itu. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!