Ringgit melonjak 225 mata asas semasa dibuka

Iklan
Pada jam 9 pagi, ringgit dibuka pada 4.7310/7380 berbanding dolar AS daripada 4.7535/7555 ketika ditutup pada Khamis. Foto123RF

RINGGIT melonjak 225 mata asas dan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika dibuka pada Jumaat, susulan pengeluaran data ekonomi AS yang bercampur-campur serta jangkaan pelabur terhadap penurunan kadar faedah berdasarkan mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS awal minggu ini.

Pada jam 9 pagi, ringgit dibuka pada 4.7310/7380 berbanding dolar AS daripada 4.7535/7555 ketika ditutup pada Khamis.

Iklan
Iklan

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, penurunan berterusan hasil Perbendaharaan AS sejak mesyuarat FOMC minggu ini menunjukkan jangkaan terhadap penurunan kadar faedah adalah semakin besar.

"Hasil Perbendaharaan AS berjangka dua tahun merosot sembilan mata asas kepada 4.87 peratus kerana sekuriti bertempoh singkat adalah yang paling sensitif dengan Kadar Dana Fed,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Beliau berkata, oleh yang demikian, Indeks Dolar AS susut 0.43 peratus kepada 105.499 mata.

"Justeru, ringgit dan mata wang negara yang sedang pesat membangun lain mungkin terus mengalami kenaikan semula hari ini,” katanya kepada Bernama.

Iklan

Mengenai data ekonomi AS, beliau berkata, pelabur sedang meneliti siri data ekonomi yang dikeluarkan negara itu dan mereka menunggu data gaji bukan ladang dan data pengangguran dikeluarkan sebelum membuat keputusan pelaburan seterusnya.

"Sektor pembuatan AS mengalami penguncupan pada April, dengan Indeks Pengurus Pembelian IPP) Pembuatan ISM susut kepada 49.2 daripada 50.3 yang direkodkan pada Mac.

"Data penawaran Pekerjaan AS juga susut kepada paras terendah dalam tempoh tiga tahun pada Mac, dan bilangan orang yang meninggalkan pekerjaan mereka menurun, menunjukkan permintaan buruh yang perlahan,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, namun Tuntutan Pengangguran AS masih kekal berdaya tahan dan laporan oleh Automatic Data Processing (ADP) menunjukkan pekerjaan sektor swasta di AS meningkat sebanyak 192,000 pekerjaan, yang melebihi jangkaan,” katanya.

Pada pembukaan, ringgit didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding euro kepada 5.0768/0843 daripada 5.0877/0898 semalam, dan tinggi berbanding pound British kepada 5.9341/9429 daripada 5.9490/9515.

Ringgit susut berbanding yen Jepun kepada 3.0877/0927 daripada 3.0614/0629 ketika ditutup pada Khamis.

Pada masa sama, mata wang domestik diniagakan tinggi berbanding mata wang negara Asean.

Ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8420/8680 daripada 12.8615/8729 ketika ditutup pada Khamis, dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4949/5006 daripada 3.4970/4987.

Unit domestik lebih kukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 292.2/292.8 daripada 293.6/293.9 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.23/8.25 daripada 8.26/8.27. - Bernama