NRES ketengah konsep Raya Lestari di Sambutan Aidilfitri Madani Kelantan

Iklan
Hampir 20,000 orang hadir memeriahkan Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri di RTC Bandar Baru Tunjong pada Khamis.

KOTA BHARU - Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mengetengahkan konsep Raya Lestari sempena penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 bersama Perdana Menteri di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Bandar Baru Tunjong di sini, pada Khamis.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, konsep itu selaras dengan penekanan NRES untuk membudayakan masyarakat dengan amalan gaya hidup hijau demi kelestarian alam.

Iklan
Iklan

"Langkah ini bertepatan dengan kempen yang digerakkan oleh kami pada 12 Januari lalu. Amalan kelestarian yang dipraktikkan di sini adalah dengan tidak menggunakan kutleri dan bekas makanan yang berasaskan plastik, membawa bekas makanan dan minuman sendiri untuk mengelakkan penggunaan plastik sekali guna sepanjang majlis.

"Ia secara tidak langsung membuang lebihan makanan di mesin kompos untuk dijadikan baja tanaman, dan menggunakan bas yang disediakan bagi mengurangkan jejak karbon," katanya.

Iklan

Selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, majlis turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

NRES mengetengahkan konsep Raya Lestari sempena penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 di RTC Bandar Baru Tunjong pada Khamis.

Nik Nazmi berkata, hampir 20,000 orang hadir memeriahkan majlis yang dianjurkan dengan kerjasama kerajaan Kelantan selaku tuan rumah dan NRES penganjur.

Iklan

Beliau berkata, tujuan utama penganjuran majlis Sambutan Aidilfitri Madani adalah untuk memupuk semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat di samping membolehkan pemimpin bertemu dan beramah mesra dengan rakyat.

Katanya, mesej Raya Lestari itu tidak terhad pada bulan Syawal sahaja, malah diteruskan pelaksanaannya ke semua program yang dihadiri dan dianjurkan kementerian.

"Ia sebagai salah satu usaha mendekati masyarakat dalam mendidik dan mengajak seluruh rakyat Malaysia membudayakan kelestarian dalam kehidupan seharian.

"Kementerian berharap melalui penganjuran Raya Lestari ini ia akan memberi pendedahan kepada seluruh masyarakat supaya amalan lestari sentiasa diamalkan walau di mana sahaja," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!