2 penjawat awam Perlis disiasat SPRM diarah bercuti

Iklan
Mohd Shukri pada sidang akhbar pada Khamis.

KANGAR - Dua penjawat awam kerajaan negeri termasuk seorang pegawai kanan kepada Menteri Besar Perlis, diarahkan bercuti daripada tugas masing-masing.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, keputusan itu dibuat berikutan individu terbabit sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan memalsukan dokumen bagi tujuan tuntutan palsu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hanya dua daripada enam individu yang disiasat SPRM Putrajaya sejak dua minggu lalu merupakan penjawat awam kerajaan negeri, manakala selebihnya adalah kontraktor.

"Dua penjawat awam negeri ini sudah pun (diarah) bercuti daripada tugas masing-masing selepas mereka dibebaskan daripada siasatan tempoh hari.

Iklan

"Yang lainnya bukan penjawat awam, mereka pula kemungkinan sudah pun menjalankan kerja perniagaan masing-masing," katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di Persiaran Wawasan, di sini pada Khamis.

Sebelum ini, enam individu termasuk seorang anak lelaki kepada Mohd Shukri, berusia 27 hingga 37 tahun direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan.

Iklan

Turut ditahan, dua penjawat awam membabitkan seorang pembantu juruteknik di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan seorang pegawai kanan kepada Menteri Besar.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman sebelum ini mengesahkan penahanan reman enam individu yang disiasat berhubung pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan.

Keseluruhan projek berkenaan melibatkan kerja-kerja baik pulih, penyelenggaraan, pembekalan dan perkhidmatan bermula dari 2022 sehingga kini dianggarkan bernilai RM600,000.