Cuba selamatkan tunang, lelaki ditetak dengan pedang samurai

Iklan
Lokasi kejadian mangsa disamun dan diserang menggunakan samurai di laluan masuk berhampiran kedai di kawasan perumahan Melinsung, Papar. Gambar kecil: Kamaruddin Ambo

PAPAR - Seorang lelaki yang cuba menyelamatkan tunangnya daripada disamun, cedera akibat ditetak dengan pedang samurai dalam kejadian di laluan masuk kawasan kedai berhampiran perumahan Melinsung, di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa berusia 27 tahun mengalami kecederaan pada kedua belah tangannya manakala tunangnya yang turut berada di lokasi selamat.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, ketika kejadian kedua-dua mangsa baru saja selesai menghantar sayur di Kota Kinabalu dan mereka singgah di Papar untuk makan malam.

"Ketika kejadian pengadu yang juga tunang mangsa berusia 23 tahun itu keluar dari kenderaan dan didatangi seorang suspek yang juga keluar dari sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Iklan

"Suspek membawa objek tajam disyaki pedang samurai dan bertindak merampas beg silang pengadu yang mengandungi telefon bimbit dan dokumen peribadi.

"Ketika kejadian, mangsa yang ada bersama pengadu segera bergelut dengan suspek namun suspek telah menetaknya sebanyak dua kali sehingga menyebabkannya cedera pada kedua belah tangan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Katanya lagi, suspek kemudian bertindak melarikan diri dengan menaiki kenderaan yang dipandu oleh suspek lain.

"Sementara itu, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan dan mangsa mengalami patah tulang, luka dan mengalami kecederaan luar di bahagian lengan bawah tangan kanan namun disahkan dalam keadaan stabil," katanya.

Kamaruddin berkata, usaha mengesan suspek sedang dilakukan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Suspek seorang berbadan kurus dan ketika kejadian suspek memakai topi keledar berwarna biru, berjaket serta berseluar panjang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!