Cuaca panas luar biasa dijangka berlarutan

Iklan
Cuaca panas luar biasa yang melanda terutama di Kelantan, Perlis dan Kedah ketika ini dijangka akan berlarutan selama dua bulan lagi selain menjadi musim paling panas dunia. Gambar kecil: Nik Nazmi

KOTA BHARU - Cuaca panas luar biasa yang melanda terutama di Kelantan, Perlis dan Kedah ketika ini dijangka akan berlarutan selama dua bulan lagi selain menjadi musim paling panas dunia.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, cuaca panas ini melibatkan dua aspek iaitu fenomena El Nino yang bermula sejak tahun lepas termasuk dua kes melibatkan kematian akibat strok haba antaranya di Kelantan selain faktor perubahan iklim.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, cuaca paling panas di peringkat negara pernah direkod sekitar tahun 1999 di negeri Perlis.

"Tahun lepas di peringkat dunia (bukan di Malaysia) ialah tahun yang paling panas dalam rekod manakala tahun ini dianggarkan mungkin akan jadi tahun paling panas bermakna lebih panas daripada tahun lalu.

Iklan

"Negeri Kelantan, Perlis dan Kedah pula akan lebih panas kerana berada di bahagian utara berbanding di Kuala Lumpur, Selangor atau tempat-tempat lain di semenanjung.

Nik Nazmi (dua dari kanan) menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Program Kampung Angkat Madani di Kampung Aril.

"Berdasarkan laporan yang diterima cuaca akan beralih dalam dua bulan namun perkara itu berubah secara dinamik,” katanya selepas Merasmikan Program Kampung Angkat Madani di Kampung Aril, Melor, di sini, pada Khamis.

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) juga memantau beberapa kesan jerebu dan kebakaran di tanah gambut yang mudah berlaku pada musim panas.

Ujarnya, kementerian itu bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memantau aras air supaya bekalan itu mencukupi atau kemungkinan untuk melakukan pembenihan awan dan sebagainya.

"Sebarang keputusan pembenihan awan berpandu kepada nasihat daripada Jabatan Meteorologi Malaysia dan agensi utama Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara.

"Bukan boleh suka-suka hantar kapal terbang terus hujan, tetapi penting lihat keadaan angin dan awan serta memenuhi syarat baru boleh buat pembenihan awan dan peluang untuk berjaya itu tinggi,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, sebanyak RM2.5 juta diperuntuk bagi pelaksanaan program Kampung Angkat Madani di bawah kelolaan NRES di Kampung Aril.

"Menerusi peruntukan ini, sejumlah projek dimuktamadkan untuk dilaksanakan meliputi skop penyelenggaraan infrastruktur, pembangunan sosial dan kelestarian alam sekitar yang dijangka siap sebelum penghujung tahun 2024.

"Antara projek yang dikenalpasti adalah Program Rumah Ibadat Hijau yang bertujuan untuk menjadikan rumah ibadat sebagai pusat pemangkin kelestarian alam bagi memupuk budaya gaya hidup hijau dalam kalangan ahli kariah dan komuniti setempat,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!