Pensyarah UTHM dinobat Tokoh Pekerja Negara kategori OKU

Iklan
Anwar (kiri) beramah mesra bersama Penerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara (OKU) Zaidi Embong pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dr Zaidi Embong yang menghidap penyakit jarang jumpa muscular dystrophy menerima Anugerah Tokoh Pekerja Negara bagi kategori Orang Kurang Upaya (OKU) sempena Sambutan Hari Pekerja 2024 hari ini.

Zaidi, 52, yang berkerusi roda mendedikasikan hidup mendidik anak bangsa meskipun pergerakannya terbatas ekoran penyakit dihidapi sejak 20 tahun lepas.

Iklan
Iklan

Pensyarah di Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi itu sanggup berulang alik sejauh 140 kilometer dengan memandu sendiri kenderaan dari rumahnya di Ayer Hitam ke UTHM cawangan Pagoh, Johor setiap hari bagi menabur bakti.

"OKU juga kena berani dan tingkatkan keyakinan diri, kalau tak pecahkan sifat malu itu, kita berdepan situasi malu bertanya, sesat jalan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis sambutan itu di sini, hari ini.

Iklan

Zaidi merupakan antara 11 penerima anugerah sempena Sambutan Hari Pekerja 2024 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu penerima Anugerah Media (Individu) Mohd Alhafiz Ithnin dari Harian Metro berkata siri laporan yang dihasilkannya mengenai dasar satu peratus penjawat awam kategori OKU dalam perkhidmatan awam memberikan impak kepada banyak pihak sehingga topik berkenaan dibawa ke sidang Dewan Rakyat.

Iklan

"Saya harap kerajaan dapat terus perjuangkan agar dasar itu dicapai seperti mana dibincang dalam Parlimen,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang menyifatkan Anugerah Kesatuan Sekerja Sektor Awam kepada kesatuan itu sebagai penghargaan terhadap perjuangan NUTP selama ini dalam menjaga kebajikan guru.

Beliau berkata, pengiktirafan itu bertepatan dengan sambutan Jubli Emas NUTP tahun ini sekali gus memotivasikan kesatuan itu dalam memastikan aspek kesejahteraan guru sentiasa terjamin. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!