‘Gaji tak naik kalau malas kerja, datang lambat' - PM

Iklan
Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Rabu. Foto Sinar Harian-Rosli Talib

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh berkata individu yang malas, lambat bekerja dan tidak menunjukkan prestasi baik, tidak akan merasai kenaikan skim gaji penjawat awam.

Beliau berkata, kenaikan lebih 13 peratus itu hanya akan dinikmati kepada mereka yang menunjukkan prestasi membanggakan.

Iklan
Iklan

"Dua minggu lalu, saya ada sebut bahawa ini (kenaikan gaji) tidak terpakai untuk semua.

"Kalau rekod kerjanya itu tidak membanggakan, malas, sering lambat bekerja dan tidak memberi tumpuan yang baik maka mereka akan dipantau supaya tidak diberikan ganjaran seperti dijanjikan,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja 2024 yang bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada Rabu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Iklan

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Seri Dr Adnan Mat dan Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.

Pada masa sama, Anwar turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam menjayakan kenaikan skim gaji penjawat awam.

Menurutnya, sudah 12 tahun gaji penjawat awam tidak melalui proses kajian secara serius walaupun kerajaan bersilih berganti.

"Kenaikan (lebih 13 peratus) itu paling baik dan ini bermakna jasa semua termasuk jasa Presiden Cuepacs. Ini memang memerlukan kepakaran luar biasa.

"Oleh itu, saya umumkan (kenaikan) kerana kita sudah teliti dari segi kewangan dan bagaimana kita boleh tampung supaya hutang kurang dan defisit rendah tetapi gaji perlu naik,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!