Tiada kemasukan dadah fentanyl ke Malaysia - JSJN

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia mendapati tidak ada kemasukan atau percubaan penyeludupan dadah jenis fentanyl ke dalam pasaran tempatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, setakat ini pihaknya tidak mengesan dadah jenis fentanyl di Malaysia.

Iklan
Iklan

"Berdasarkan maklumat serta risikan daripada rakan sejawat di luar negara juga mendapati tidak ada kemasukan atau percubaan penyeludupan dadah jenis fentanyl ke dalam pasaran tempatan.

"Walau bagaimanapun, dalam usaha mengekang kemasukan apa jua jenis dadah dan bahan terlarang, JSJN bersama agensi penguatkuasa yang lain akan memperketatkan lagi kawalan keselamatan di sempadan negara," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Pada Isnin, media melaporkan Polis Kelantan bekerjasama dengan wakil Parlimen dari Thailand bagi mengekang kemasukan dadah baharu fentanyl yang mempunyai kesan bahaya 100 kali ganda berbanding morfin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dilaporkan berkata, pihaknya kini giat dalam memberikan kesedaran dan menyebarkan maklumat berkaitan dadah berkenaan kepada anggota keselamatan dan orang awam.

Iklan

Menurutnya, wakil Parlimen dari negara jiran terbabit, Standing Committee on National Security of Border Affair National Strategy and National Reform dalam pada itu melakukan kunjungan bagi sama-sama membincangkan soal keselamatan di sempadan serta usaha mengekang penularan dadah berkenaan.

Ujar Muhamad Zaki, dadah berkenaan ialah jenis sintetik dan mengharapkan pasukan keselamatan serta orang awam mahupun media membantu dalam menyebarkan maklumat berkaitan dadah berbahaya terbabit.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!