Remaja maut kemalangan dengan treler

Iklan
Mangsa maut di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler pada malam Isnin.

BUKIT MERTAJAM - Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Bukit Minyak, Kampung Tok Subuh, di sini pada malam Isnin.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shariff Md Rais berkata, mangsa dikenali sebagai Muhammad Alif Aiman Romzi, 16, maut di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

"Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 10.56 malam tadi berhubung kemalangan jalan raya melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y16 dengan sebuah treler.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, kita mendapati sebuah motosikal berada di bawah treler berkenaan. Selepas membuat 'size up', kita menemui mangsa iaitu seorang lelaki di bahagian bawah treler berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia yang tiba di tempat kejadian.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang pemandu lori cedera selepas kenderaan dipandunya terbabas lalu melanggar sebatang pokok di Jalan Kampung Baru, Taman Maju Utama, di sini pada pagi Selasa.

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Iklan

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, Pegawai Bomba Kanan I, Abu Bakar Hassan berkata, mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dibawa ke hospital untuk rawatan.

Menurutnya, kejadian berlaku pada jam 11.45 pagi itu menyebabkan lelaki berusia lingkungan 30-an tersepit di tempat pemandu lori berkenaan.

"Siasatan awal mendapati, lori tersebut telah terbabas lalu melanggar pokok berhampiran. Akibat daripada kejadian itu, mangsa tersepit di ruang pemandu.

"Kita melakukan kerja-kerja penyelamatan bagi mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan khas iaitu 'Rescue Tools'. Mangsa yang tersepit telah berjaya dibawa keluar pada jam 11.58 pagi," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!