PHB capai penarafan kemampanan G3 daripada RAM Sustainability

Iklan
Pengarah Eksekutif RAM Ratings, Chris Lee (kanan), menyampaikan sijil penarafan kemampanan emas (G3) kepada Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit (tengah), disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif RAM Ratings, Julie Ng (kiri), di pejabat PHB.

PELABURAN Hartanah Berhad (PHB) iaitu cabang operasi Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (YAHB) telah mencapai penarafan kemampanan emas (G3) daripada RAM Sustainability Sdn Bhd (RAM Sustainability).

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit berkata, ia berikutan prestasi kelestarian teladan yang ditonjolkan dalam sektor pelaburan hartanah dan meletakkannya di kalangan separuh teratas portfolio penarafan keseluruhan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia juga menunjukkan PHB menyepadukan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) ke dalam pelaburan hartanah serta amalan operasinya sambil mengejar keputusan kewangan untuk pemegang kepentingannya.

"Prestasi kemampanan kami yang kukuh menunjukkan kejayaan usaha ESG yang konsisten dan meletakkan asas untuk portfolio hartanah berprestasi dalam jangka panjang.

Iklan

"Memandangkan ESG menjadi lebih penting untuk mengurus kewangan dan risiko, PHB berusaha mencapai keseimbangan yang baik antara penggunaan ESG dan nilai ekonomi positif yang dibawa pelabur Amanah Hartanah Bumiputera (AHB),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, menurut Mohamad Damshal, PHB menyasarkan untuk meningkatkan portfolio bangunan hijaunya kepada 50 peratus daripada 28 peratus dalam tempoh tujuh tahun akan datang yang disokong oleh dasar dan rangka kerja ESGnya.

Iklan

Beliau berkata, latihan penarafan kemampanan oleh RAM Sustainability menyediakan garis asas kepada PHB untuk menyusun strategi usaha ESG ke hadapan.

Pengarah Eksekutif RAM Ratings, Chris Lee (tiga dari kanan), menyampaikan sijil penarafan kemampanan emas (G3) kepada Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PHB, Mohamad Damshal Awang Damit (tengah) di pejabat PHB.

"PHB turut bercadang untuk menutup jurang keperluan pemantauan dan pengurusan rantaian bekalan skop tiga dan menambah baik pengumpulan data PHB secara menyeluruh dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya lagi.

Ujar Mohamad Damshal, pihaknya menjangkakan bahawa ia akan meletakkan PHB dalam 10 peratus teratas kumpulan setara dan seterusnya hasil kewangan dan operasi yang positif.

"Pelepasan sifar bersih melibatkan penilaian pelepasan gas rumah hijau melalui tiga skop berbeza iaitu pertama pelepasan dihasilkan secara langsung oleh sumber yang dimiliki atau dikawal oleh organisasi seperti pembakaran bahan api dalam kenderaan.

"Skop dua adalah pelepasan secara tidak langsung disebabkan aktiviti syarikat, yang berasal daripada pengeluaran tenaga yang dibeli dan digunakannya. Sebagai contoh, penjanaan elektrik digunakan dalam bangunan termasuk dalam kategori ini.

"Manakala skop tiga termasuk pelepasan yang tidak dihasilkan secara langsung oleh syarikat tetapi daripada tindakan naik dan turun rantaian nilainya. Contoh, pelepasan berkaitan dengan perolehan, penggunaan dan pelupusan produk daripada pembekal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif RAM Sustainability, Gladys Chua Pei Rong berkata, penilaian kemampanan G3 yang dianugerahkan kepada PHB mencerminkan tadbir urus dan prestasi sosialnya yang kukuh.

"Ia seperti yang ditunjukkan oleh lembaga bebas, rangka kerja risiko dan kemampanan yang komprehensif serta pendekatan yang mementingkan pelanggan dalam operasinya.

"Sebagai entiti pelaburan hartanah berkaitan kerajaan dengan mandat bumiputera yang penting, RAM Sustainability memuji pendekatan proaktif PHB terhadap ESG yang penting untuk PHB berkesan melaksanakan misinya,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!