KDN muktamad pembelian 4 helikopter untuk Maritim Malaysia

Iklan
Saifuddin. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal menerima empat helikopter baharu selepas Kementerian Dalam Negeri memuktamad perolehan pesawat terbabit.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kertas kerja bagi perolehan aset itu, yang menelan kos kira-kira RM600 juta, juga sudah diserahkan kepada Kementerian Kewangan untuk keputusan akhir.

Iklan
Iklan

"Langkah seterusnya kita akan melakukan lawatan ke premis syarikat pengeluar helikopter yang telah disenarai pendek sebelum membuat keputusan pembelian," katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama warga Maritim Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Datuk Saiful Lizan Ibrahim.

Iklan

Beliau berkata, pihaknya sedang menilai sama ada menerima atau tidak sebuah kapal peronda yang ingin disumbang oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat untuk kegunaan Maritim Malaysia.

Saifuddin Nasution berkata, pihaknya menerima tawaran itu ketika melakukan lawatan kerja ke Amerika Syarikat pada September lepas.

Iklan

Beliau berkata, tawaran itu adalah sebagai tanda kerjasama erat antara kedua-dua negara dalam perkongsian maklumat dan kepakaran.

"Malaysia dilihat oleh Pengawal Pantai Amerika Syarikat sebagai negara yang mempunyai kepakaran dalam mengendalikan isu keselamatan di lautan berikutan kita mempunyai sempadan laut yang luas iaitu sepanjang 590,000 kilometer persegi selain menangani jenayah di laut yang semakin kompleks," katanya.

Susulan itu, Saifuddin Nasution berkata, beberapa pegawai dan anggota Maritim Malaysia telah dihantar ke Amerika Syarikat untuk melihat keupayaan kapal peronda terbabit serta membuat laporan sebelum keputusan akhir dibuat. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!