Polis lepas tembakan, pemandu Volkswagen Scirocco cuba rempuh anggota

Iklan
Muhamad Zaki melihat kesan tembakan pada bahagian tayar Volkswagen Scirocco.

KOTA BHARU - Polis melepaskan tiga das tembakan ke arah sebuah kereta jenis Volkswagen Scirocco selepas pemandunya cuba merempuh pihak berkuasa di hadapan sebuah rumah di Taman Wadi Iman, Ketereh di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, penganggur berusia 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota Risik Batalion 7, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan, Pahang pada jam 4.15 petang.

Iklan
Iklan

"Semasa diserbu, suspek cuba melanggar anggota menyebabkan tiga das tembakan dilepaskan bagi tujuan mempertahan diri dan memberhentikan kereta itu.

Muhamad Zaki (kanan) melihat kesan cermin pecah pada Volkswagen Scirocco.

"Dua tembakan kena pada tayar kanan dan satu tembakan terkena bahagian hadapan kereta terbabit sebelum suspek berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, pada Isnin.

Iklan

Menurut beliau, pemeriksaan di dalam kereta itu menjumpai satu beg berwarna hitam di dalamnya terdapat 2,400 pil kuda dengan anggaran berat 246 gram (g) dan 9.25g heroin.

Suspek seterusnya memandu arah polis ke sebuah lagi kereta jenis Proton Pesona yang berada di bawah garaj di hadapan rumah tersebut untuk diperiksa.

Iklan
Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dari dalam kereta suspek.

"Hasil pemeriksaan menjumpai satu beg kulit di dalam berisi 2,000 pil kuda dianggarkan seberat 213.7g.

"Jumlah keseluruhan dadah dan harta yang dirampas serta disita ialah RM175,635,” katanya.

Ujar beliau, ujian saringan air kencing suspek didapati positif dadah, bagaimanapun dia tidak mempunyai rekod lampau berdasarkan semakan polis.

Muhamad Zaki menunjukkan beg hitam yang dirampas selepas didapati berisi dadah.

"Siasatan terhadap suspek masih diteruskan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!