Suami isteri didakwa perdagang dua wanita warga asing

Iklan
Suami isteri didakwa perdagang dua wanita warga asing. Gambar hiasan

SEREMBAN - Suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas dua pertuduhan memperdagangkan dua wanita warga asing bagi tujuan eksploitasi kerja, tahun lalu.

Tertuduh, S Kumaraguru, 33, dan isterinya, T Agatishwari, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh secara bersama dengan niat telah memperdagangkan seorang wanita warga Myanmar, 41, dan wanita warga India, 21, bagi maksud eksploitasi kerja dengan cara penyalahgunaan kedudukan orang yang mudah terdedah kepada bahaya perbuatan pemerdagangan orang.

Perbuatan itu dilakukan antara Julai hingga Oktober 2023 di sebuah rumah beralamat di Taman Bayu Indera Lukut, Port Dickson.

Iklan

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh tidak lebih 20 tahun dan denda.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

Peguam Hasvinder Singh Gill yang mewakili pasangan itu memohon jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan alasan suami isteri itu tidak bekerja dan menanggung dua anak yang masih kecil serta ibu bapa masing-masing.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM12,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa serta saksi.

Sebutan semula pada 30 Mei depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!