Che'gubard direman dua hari

Iklan
Laporan Sinar Harian (kiri) dan Mohd Shuhaily

KUALA LUMPUR - Che'gubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin ditahan reman dua hari bagi membantu siasatan berkaitan hantaran mengenai pengoperasian kasino di Forest City.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya telah membuka kertas siasatan dan membuat tangkapan terhadap Che'gubard pada Sabtu.

Iklan
Iklan

"Reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dimohon dan dibenarkan oleh Majistret Mahkamah Kuala Lumpur selama dua hari ini hingga esok," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Bukit Aman.

Iklan

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, kes dalam siasatan dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Iklan

"Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman awam.

"Orang ramai digesa agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

Pada Sabtu, Peguambela dan peguamcara, Rafique Rashid dilaporkan berkata, Che'gubard kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Tangkapan itu dikaitkan dengan hantaran dalam Facebook beliau berkaitan dengan Kasino Forest City yang dilaporkan oleh Bloomberg.

Menerusi hantaran Che'gu Bard di Facebook, beliau menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hab kewangan yang akan dibina di Forest City.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada agensi berita Business Times Singapore dan Bloomberg kerana melaporkan berita berkenaan kepada umum.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!