Tamparan buat misi ke Eropah Manchester United

Iklan
Amdouni. Foto Agensi

GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United hanya sekadar meraih satu mata ketika melayan kunjungan Burnley selepas terikat 1-1 dalam perlawanan di Stadium Old Trafford.

Pengendali Manchester United, Erik ten Hag mengekalkan kesebelasan The Reds Devils yang menang ke atas Sheffield United 25 April lalu dengan Mason Mount kembali ke bangku simpanan selepas terlepas dua perlawanan akibat kecederaan.

Iklan
Iklan

Biarpun begitu tuan rumah masih belum mampu menghadirkan semula kudrat Luke Shaw, Lisandro Martinez, Raphael Varane dan Marcus Rashford untuk melayan kunjungan Burnley kendalian Vincent Kompany.

Penyerang kelahiran Brazil, Antony memecahkan kebuntuan hasil rembatan menewaskan Arijanet Muric bagi meletakkan Red Devils memimpin perlawanan pada minit ke-79 separuh masa kedua.

Iklan

Namun pemain gantian Burnley, Zeki Amdouni memanfaatkan peluang apabila menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-87, selepas dikasari penjaga gol Andre Onana sekali gus menyelamatkan The Clarets yang diancam penyingkiran.

Keputusan seri keenam itu merupakan tamparan kepada harapan United yang giat memburu slot kelayakan Eropah, apabila berada enam mata di belakang Tottenham Hotspur di tangga kelima, yang mempunyai dua perlawanan dalam tangan.

Iklan

"Itulah fakta...Kami perlu menang. Beberapa minggu lalu kami mendapat tempat menang dan kemudian memberikannya. Jurang terlalu besar dalam fasa musim ini.

"Sepanjang banyak fasa permainan kami melakukan yang sangat baik (tetapi) kami memberikannya sekali lagi pada penghujung.

"Kami perlu melihat cermin. Kami membuat kesilapan, tetapi anda bertanggungjawab dan mereka harus memahami apa yang dimaksudkan untuk pasukan dan pengurus," kata Ten Hag.

Sebagai rekod, Manchester United menang 1-0 hasil sentuhan Bruno Fernandes pada minit ke-45 dalam perlawanan di Turf Moor pada 24 September lalu.

Tugasan seterusnya anak buah Ten Hag adalah menanti kunjungan Crystal Palace di Stadium Old Trafford pada 7 Mei ini.

Arteta dapatkan nasihat Wenger untuk Derbi Utara London

Dalam perkembangan lain, pengendali Arsenal, Mikel Arteta mendapatkan nasihat daripada bekas pengurus legenda, Arsene Wenger dalam misi menamatkan penantian 20 tahun menjulang kejuaraan Liga Perdana musim ini, menjelang lawatan ke Tottenham Hotspur bagi Derbi Utara London pada Ahad.

Kemenangan ke atas saingan utara London boleh merangsang harapan Arsenal untuk menjulang kejuaraan.

The Gunners mendahului dalam kedudukan dengan kelebihan satu mata mengatasi Manchester City yang akan menentang Nottingham Forest pada Ahad dengan kurang satu perlawanan.

Sebagai rekod, Wenger sepanjang tempoh 22 tahun telah membawa Arsenal meraih tiga kejuaraan liga, pada 1997/98, 2001/02, dan musim Invincibles yang luar biasa pada 2003/04.

Wenger (kiri) dan Arteta antara watak penting bola sepak Arsenal. Foto Agensi

Arsenal kekal tanpa kalah sepanjang kempen liga 2003/04 dan merangkul kejuaraan dengan keputusan seri 2-2 dalam perlawanan Derbi Utara London di Stadium White Hart Lane Spurs.

"Saya telah bercakap dengannya beberapa kali. Terdapat topik tertentu kami berbincang tentang bagaimana mereka memenanginya dan peringkat seterusnya.

"Wenger pernah bercakap tentang itu ketika saya masih pemain. Untuk musim ini, pada penghujungnya, ia adalah tentang mencari jalan untuk memenangi permainan.

"Anda boleh melakukannya dalam pelbagai cara apabila anda melihat bagaimana mereka memenangi gelaran dan perlawanan tertentu dengan margin yang sangat-sangat hampir.

"Dia sentiasa bercakap tentang perkara itu, tentang margin yang baik dan siapa yang akan meningkatkan pada kesempatan itu untuk merealisasikannya,” kata Arteta.

Sebagai rekod, Tottenham berada di kedudukan kelima, yang tidak bermain selama dua minggu mengintai penamat tempat keempat dalam liga.

Selepas Spurs, Gunners menentang Bournemouth, Manchester United dan Everton.

Liga Perdana Inggeris

AHAD (28 APRIL)

Bournemouth lwn Brighton, 9 malam

Tottenham Hotspur lwn Arsenal, 9 malam

Nottingham Forest lwn Manchester City, 11.30 malam

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!