Keluarga mohon bantuan kesan anak dikhuatiri hilang

Iklan
Orang ramai diminta memberikan maklumat jika mengenali atau mengesan Mohd Hairul Shahazwan.

KUANTAN - Sebuah keluarga yang menetap di Felda Lepar Utara Tiga, Jerantut memohon bantuan orang ramai untuk mencari anak lelakinya dikhuatiri hilang sejak tiga bulan lalu.

Bapanya, Shaari Yeop, 59, berkata, anaknya, Mohd Hairul Shahazwan, 33, disedari hilang apabila tidak pulang ke rumah selepas dikatakan hendak ke rumah adik perempuannya di Kuantan, sebelum ke Selangor untuk bertemu isteri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, anak kedua daripada empat beradik itu dilihat keluar dari rumah pada 20 Februari lalu, kira-kira jam 10.30 pagi dengan menaiki motosikal miliknya.

"Saya kemudian, cuba menghubungi telefon bimbitnya, namun gagal. Satu laporan dibuat pada 22 Februari di IPD ( Ibu Pejabat Polis Daerah) Jerantut bagi mengesan anak saya," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Pada Rabu, tular di laman sosial Facebook yang meminta orang ramai membantu mengesan Mohd Hairul Shahazwan yang didakwa hilang sejak 20 Februari lalu.

Hantaran terbabit turut memaklumkan usaha mencari sudah dilakukan, namun sehingga kini Mohd Hairul Shahazwan masih belum ditemukan.

Iklan

Shaari yang merupakan peneroka Felda memberitahu, penemuan motor miliknya yang dinaiki anaknya di ladang kepala sawit di Lepar Utara berhampiran hutan menjadi tanda.

Katanya, motosikal itu ditemui penduduk kampung, sebelum dimaklumkan kepadanya pada 16 April lalu.

"Hanya motosikal sahaja dijumpai, namun dia (anak) saya tidak jumpai. Saya dan beberapa penduduk kampung (kini) sedang berusaha mencari dia di kawasan sekitar ladang termasuk hutan berhampiran.

"Namun usaha itu gagal. Saya bukan apa, hendak tahu sama ada anak saya ini hidup atau pun mati itu sahaja. Jadi sebab itu saya berusaha mencarinya," luahnya.

Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk membantu mengesan Mohd Hairul Shahazwan dan sekiranya menjumpainya boleh menghubungi talian 011-19242567 atau 016-6392029 atau balai polis berhampiran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!