Rumah terbuka Selangor Sabtu ini

Iklan
MOHD YAZID


SHAH ALAM - Orang ramai dijemput hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor bertemakan ‘Riuh Raya #KitaSelangor’ pada Sabtu, 27 April ini bermula 8 malam di Bandar Kuala Kubu Baharu, Hulu Selangor.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (Pengurusan), Datuk Mohd Yazid Sairi berkata, majlis tersebut akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti, juadah menarik serta persembahan daripada penyanyi terkenal tanah air seperti Ella, Sarah Suhairi serta Naim Daniel.

"Kita sediakan 48 gerai makanan dan dibahagikan kepada beberapa seksyen bagi mengelakkan daripada berlaku kesesakan teruk ketika mengambil juadah. Kita akan cuba yang terbaik untuk rakyat Selangor.

"Majlis dijangka menerima kunjungan istimewa daripada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. Pengunjung juga berpeluang untuk beramah mesra bersama Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan ramai lagi," katanya ketika ditemui di Pejabat Setiausaha Kerajaan di sini, pada Rabu.

Tambah beliau, tetamu kehormat lain yang hadir adalah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (AMMKN), Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran Awam Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Bandar, Ahli-Ahli Dewan Negeri Undangan Selangor (ADUN), Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan, Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) dan anak syarikat serta badan berkanun negeri.

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Dalam pada itu, Mohd Yazid memaklumkan beberapa pameran secara bergerak berkaitan inisiatif kerajaan negeri turut dibuka bagi menerangkan inisiatif yang disediakan khusus untuk rakyat Selangor.

"Sebagai penambah seri dan keceriaan majlis, kita juga akan mengadakan penyerahan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis dan dijangka tamat antara 10.30 hingga 11 malam dengan acara pertunjukan bunga api.

"Kemudahan lain seperti surau dan tandas juga disediakan kepada pengunjung yang hadir. Begitu juga dengan parkir kenderaan,” ujarnya selain memaklumkan pihaknya turut menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik dan buggy ke lokasi utama rumah terbuka.

Tambahnya, orang ramai boleh melayari media sosial Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (PSUK) di http://www.selangor.gov.my/ untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung program dan jadual trafik.

"Diharapkan dengan penganjuran rumah terbuka ‘Riuh Raya #KitaSelangor’ ini dapat merapatkan hubungan pemimpin dan rakyat, mengeratkan lagi perpaduan masyarakat pelbagai etnik khususnya di Selangor,” ujarnya yang menasihatkan orang ramai supaya datang awal serta mematuhi peraturan ditetapkan bagi kelancaran majlis.