10 wira negara korban helikopter terhempas selamat bersemadi

Iklan

IPOH - Semua 10 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter terhempas di Lumut pada Selasa selamat disemadikan.

Proses pengebumian dijalankan selepas semua jenazah selesai menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada jam 2.20 petang pada Rabu.

Iklan
Iklan

Lapan daripada 10 kru yang beragama Islam dikebumikan di tanah perkuburan kampung halaman masing-masing mengikut istiadat ketenteraan TLDM sebagai penghormatan terakhir.

Jenazah sebelum itu disembahyangkan di Kem Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Ipoh.

Iklan

Kenderaan milik TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jenazah bergerak ke beberapa lokasi pengebumian pada jam 6 petang dengan diiringi polis.

Jenazah lapan mangsa selamat disemadikan di kampung halaman masing-masing. Foto Bernama

Suasana pilu, tangisan syahdu dan linangan air mata ahli keluarga, kenalan serta rakan seperjuangan mengiringi perjalanan terakhir wira-wira negara ini.

Iklan

Di Perak, jenazah Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy, 41, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu Nor, Rantau Panjang Selama jam 9 malam manakala Pegawai Waran II, Mohd Shahrizan Mohd Termizi, 41, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Lekir, pada jam 10 malam.

Urusan pengebumian di Kedah melibatkan Bintara Muda Nor Rahiza Anuar, 39, selesai pada jam 9.55 malam di Tanah Perkuburan Masjid Haji Nyak Gam Kampung Ruat, Yan sementara Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun, 36, dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al- Muhtadin Sik Dalam, jam 10.10 malam.

Turut dikebumikan jenazah Komander Muhammad Firdaus Ramli, 44, di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sungai Nibong, Bayan Lepas, Pulau Pinang jam 8.50 malam dan Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, 37, di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur jam 10 malam.

Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Kristian Kampung Engkaroh di sini, pagi ini sepanjang proses pengebumian mendiang Joanna. Foto Bernama

Sementara itu, jenazah Leftenan Komander Amirulfaris Mohamad Marzukhi, 35, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Negeri Sembilan pada jam 11 malam diikuti jenazah Komander Muhamad Amir Mohamad, 44, pada jam 12.30 tengah malam di Tanah Perkuburan Islam Felcra Bukit Kepong, Johor.

Jasad Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna, 26, yang diterbangkan menggunakan Pesawat C-130 Hercules milik TUDM dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh selesai dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian Kampung Engkaroh jam 11.20 pagi pada Khamis.

Jasad Leftenan T Sivasutan, 31, pula selamat menjalani upacara pembakaran di Pusat Krematorium Manjung Hindu Sabha Sanathana Dharma Ashram di Sitiawan jam 12.15 tengah hari pada Khamis.

Pegawai dan Anggota TLDM hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Lt T. Sivasutan. Foto Bernama

Dalam insiden pada jam 9.32 pagi pada Selasa itu, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang berlangsung Sabtu ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!