Kawalan di KLIA dipertingkat dengan penggunaan kenderaan mikromobiliti

Iklan
Amiruddin (tiga dari kiri) bersama Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi (dua dari kanan) pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Kenderaan Mikromobiliti E-Scooter kepada PDRM Kontinjen Selangor di KLIA Terminal 1 pada Rabu. Foto Bernama

SEPANG - Kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 di sini, oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus dipertingkatkan dengan penggunaan kenderaan mikromobiliti skuter elektrik.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penggunaan skuter elektrik akan mempercepat rondaan PDRM sekali gus meningkatkan kepercayaan orang ramai terhadap keselamatan di pintu masuk utama negara.

Iklan
Iklan

"Empat skuter elektrik diserahkan untuk kegunaan pasukan keselamatan di KLIA Terminal 1 dan 2, masing-masing terima dua.

"Pembelian telah dibuat awal dan ia tepat untuk tingkat kawalan keselamatan dan kepercayaan masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan empat skuter elektrik berkenaan di sini pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, kesemua kenderaan mikromobiliti bernilai RM55,000 itu adalah sumbangan Menteri Besar Diperbadankan (MBI) dan akan ditambah jika terdapat keperluan atau sebarang permintaan lanjut.

Menurut Amirudin, kenderaan mikromobiliti itu sering digunakan di lapangan terbang antarabangsa luar negara dan boleh mencapai kelajuan 20 hingga 30 kilometer sejam (km/j).

Iklan

"Kelebihannya kenderaan ini adalah boleh digunakan 24 jam sekali cas,” katanya.

Amiruddin (kanan) bersama Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S Sasikala Devi (dua dari kiri), diiringi anggota PDRM yang menggunakan E-Scooter pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan Kenderaan Mikromobiliti E-Scooter kepada PDRM Kontinjen Selangor di KLIA Terminal 1 pada Rabu. Foto Bernama

Amirudin berkata, penggunaan kenderaan berkenaan di lapangan terbang penting kerana ia merupakan kawasan tumpuan di Malaysia dengan merekodkan 60 juta pengunjung setahun.

"Purata pengunjung harian ialah 250,000 dengan 251 pesawat berurusan di lokasi itu setiap hari,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM meningkatkan kawalan dan jumlah penugasan pegawai serta anggota di KLIA Terminal 1 dan 2, susulan insiden tembakan pada 14 April lepas.

Beliau berkata, kawalan keselamatan dan pemantauan pada masa ini membabitkan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah KLIA dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri/Ketenteraman Awam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi di Balai Ketibaan KLIA Terminal 1 itu, seorang lelaki telah melepaskan dua das tembakan dengan satu daripadanya terkena seorang lelaki tempatan yang juga pengawal peribadi. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!