Enam masjid, surau di Rembau terima al-Quran wakaf

Iklan
Mohamad (empat dari kiri) dan Hashim (dua dari kanan) bersama wakil masjid dan surau yang hadir menerima al-Quran wakaf itu pada Sabtu.

REMBAU - Empat masjid dan dua surau sekitar daerah ini menerima satu set naskhah al-Quran daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

Sumbangan wakaf tersebut diserahkan semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan merangkap Menteri Luar di Rantau, di sini pada Sabtu disaksikan oleh Sekretariat WUIF, Hashim Anang.

Iklan
Iklan

Menurut Hashim, al-Quran itu untuk Masjid Imam Kahar; Masjid Kampung Sendayan; Masjid Taman Angsamas; Masjid At Taqwa Kampung Paroi; Surau Hj Bidin Ulu Lalang dan Surau Al Raudah, Taman Kelab Tuanku.

"Wakaf al-Quran ini telah kita mulakan pada tahun 2020 iaitu ketika pandemik Covid-19 dengan menyasarkan penerima dalam golongan barisan hadapan seperti polis, tentera, dan pusat kuarantin yang mana sehingga kini ia mendapat sambutan luar biasa daripada pewakaf-pewakaf.

Iklan

"Justeru, kita kembangkan sumbangan program wakaf kitab suci ini kepada institusi masjid, surau, sekolah, pelbagai jabatan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), termasuklah rumah anak yatim," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Katanya, sumbangan wakaf ini turut dimanfaatkan untuk menggerakkan #QuranCorner yang mana ia akan menjadi ruang untuk sesiapa sahaja menggunakan ruang tersebut berinteraksi dengan al-Quran walaupun seketika.

Iklan

"Kita ada juga Quran Corner iaitu ruang yang diletakkan al-Quran wakaf bagi tujuan ‘Rehat dan Rawat’ melalui pendekatan berinteraksi dengan Al-Quran: Baca, faham dan amal, nilai serta mesej yang ada dalam al-Quran," katanya.

Projek Wakaf al-Quran ini dicetuskan oleh Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacob.

Beliau juga menggerakkan program #WorldQuraanHour dan #MalaysiaQuraanHour yang turut disokong oleh media lain seperti Ideaktiv, TV AlHijrah, Sinar Harian Astro Oasis, Media Prima dan lain lain.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!