Stadium Perak tunggu geran KBS tukar rumput Zeon Zoysia

Iklan
Khairudin (dua dari kiri) menyerahkan set buku tambahan kepada wakil guru pada Majlis Penyerahan Buku Tuisyen Asrama Harian negeri Perak di Ipoh.

KERJA-kerja menaik taraf sistem saliran serta penukaran rumput baharu jenis Zeon Zoysia di padang Stadium Perak akan dilaksanakan sebaik menerima geran RM500,000 yang ditawarkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, perbincangan akan dilakukan dalam masa terdekat melibatkan pelbagai pihak termasuk Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selaku badan yang akan menyelenggarakan stadium utama negeri itu.

Iklan
Iklan

"Kerajaan negeri telah menghantar surat persetujuan kepada KBS untuk kerja-kerja penggantian rumput stadium.

"Kerja-kerja itu dijalankan setelah ada perbincangan daripada pihak berkenaan termasuk Perak FC dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) supaya kerja itu mengikut skop dan masa yang ditetapkan," katanya.

Iklan
Khairudin (tengah) bergambar bersama pelajar-pelajar yang hadir pada Majlis Penyerahan Buku Tuisyen Asrama Harian negeri Perak di Ipoh.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Buku Tuisyen Asrama Harian negeri Perak pada Jumaat.

Menurut Khairudin, pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf kualiti padang itu dijangka tidak mengganggu jadual perlawanan Liga Super pada Mei depan.

Iklan

"Kita kena tengok jadual perlawanan Liga Super supaya Perak FC ada peluang dan ruang bermain di gelanggang sendiri. Kita tidak mahu nanti semua main di gelanggang lawan, peminat akan marah. Kita akan susun mengikut keadaan semasa.

"Kita ada cadangan bermain di stadium lain tetapi perkara itu perlu dibincang dan diperhalusi bersama supaya kita dapat keputusan muktamad," katanya.

Januari lalu, KBS melalui Menterinya, Hannah Yeoh menawarkan RM7 juta menerusi geran untuk meningkatkan kualiti padang di stadium setiap negeri sebagai persediaan musim Liga Malaysia (Liga M) 2024/2025.

Geran RM500,000 ditawarkan kepada semua 14 negeri termasuk Wilayah Persekutuan untuk kerja-kerja naik taraf sistem saliran dengan kos RM300,000 manakala RM200,000 lagi untuk menanam rumput baharu.