Usahawan tudung terkenal trauma rumah dipecah masuk

Iklan
Keadaan bilik utama berselerak selepas dipecah masuk yang dikongsi di media sosial

KOTA BHARU - Pasangan usahawan tudung jenama terkenal di Kelantan terkejut dan masih trauma selepas kediaman mereka di Kampung Bukit Panau, Tanah Merah dipecah masuk pada Rabu.

Sebelum kejadian, Mohamad Izat Mustaffa, 32, dan isteri, Ain Suraya Zulkifli, 30, membawa dua anak berusia empat dan tujuh tahun pergi ke pejabat mereka yang hanya kira-kira satu kilometer dari rumah untuk menyiapkan kerja.

Iklan
Iklan

Menurut Mohamad Izat, kira-kira sejam mereka pulang ke rumah iaitu pada jam 9.30 malam dan mendapati rumah mereka berselerak di semua ruang terutama ruang tamu dan bilik utama.

"Kami syak individu yang memasuki rumah saya mengenali selok-belok di sini kerana ada satu kawasan di bahagian belakang rumah tidak boleh dikesan empat kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah ini.

Iklan

Bagaimanapun Mohamad Izat enggan menuduh sesiapa tetapi menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

Mohamad Izat memberitahu, selepas kejadian itu, isterinya mengalami trauma teruk dan tidak sihat kerana masih dalam keadaan terkejut.

Iklan

"Ain juga tidak mampu memasuki bilik yang dimasuki pencuri serta mudah terkejut kerana bimbang terhadap keselamatan keluarga terutama anak-anak kami," katanya.

Jelas beliau, kejadian itu merupakan kali pertama sejak menduduki rumah berkenaan empat tahun lalu dan masih ada beberapa pembaikan perlu dilakukan termasuk pemasangan jeriji.

Usahawan berkenaan membuat laporan polis kira-kira jam 9.30 malam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintenden Razi Rosli berkata, sebaik menerima laporan daripada pemilik rumah, pemeriksaan terus dilakukan di kediaman itu.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati suspek melarikan wang tunai dianggarkan RM1,000, dua bentuk cincin emas dan satu ketul emas seberat satu gram.

"Suspek turut melarikan satu jam tangan berjenama serta kunci rumah dan keseluruhan kerugian dianggarkan sebanyak RM5,000," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Beliau memberitahu, siasatan di rumah berkenaan turut menemukan cap jari dipercayai milik suspek ketika memecah masuk kediaman berkenaan.

"Suspek juga dipercayai mengumpil tingkap di bahagian belakang rumah sebelum masuk ke dalam kediaman itu," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!