Penang FC harap kehadiran satu lagi tonggak import

Iklan
Akmal Rizal

KETUA jurulatih Penang FC, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengakui kelab bimbingannya amat mengharapkan tambahan seorang lagi pemain import bagi memperkuat pasukan itu musim ini.

Bekas penyerang kebangsaan itu berkata, kehadiran pemain import amat diperlukan pada posisi tengah menyerang bagi membantu menghasilkan jaringan.

Iklan
Iklan

Akmal Rizal berkata, beliau sudah memiliki calon yang berkelayakan dari negara Amerika Latin, namun perancangan tersebut hanya dapat direalisasikan dengan persetujuan pihak pengurusan.

"Esok (hari ini) pihak pengurusan akan bermesyuarat. Mungkin ada kata putus sama ada saya boleh membawa seorang lagi pemain utama di bahagian tengah menyerang.

Iklan

"Calon kuota bebas sudah ada. Saya harap perkara ini dapat direalisasikan untuk kita tambah kekuatan di bahagian serangan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan Kejohanan Empat Penjuru Pra Musim menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam Rabu.

Akmal Rizal berkata, beliau juga belum memutuskan kesebelasan utama yang akan membarisi skuad Harimau Kumbang musim ini.

Iklan

Justeru, katanya, peluang masih terbuka untuk semua termasuk pemain muda membuktikan keupayaan bagi merebut tempat utama dalam pasukan.

"Semua pemain yang ada dalam pasukan ini saya yang pilih. Jadi sama ada pemain baharu, pemain muda yang dinaikkan daripada skuad bawah 23 tahun atau yang dikekalkan daripada musim lalu mempunyai peluang sama rata.

"Terpulang pada pemain bagaimana mereka nak ambil peluang untuk buktikan keupayaan masing-masing," katanya yang berazam untuk mendapatkan kedudukan terbaik dalam Liga Super musim ini.

Penang FC musim ini sudah mengikat empat tonggak import iaitu Moon Gun Young, Rodrigo Dias, Rafael Vitor dan Richmond Ankrah yang dipinjamkan oleh Selangor FC selama semusim. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28