Malaysia zahir hasrat jadi tuan rumah Seatrade Cruise Asia 2026

Iklan
Anthony Loke (lima dari kiri) bersama delegasi ketika menghadiri persidangan tahunan Seatrade Cruise Asia 2024 bersama delegasi pada 8 hingga 11 April lalu.

SHAH ALAM - Malaysia berhasrat untuk menjadi tuan rumah Seatrade Cruise Asia 2026 bagi menunjukkan keazaman dalam mempromosikan industri pelayaran sebagai pemangkin ekonomi yang berpotensi untuk negara.

Kesungguhan itu disampaikan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika menghadiri persidangan tahunan yang mengumpulkan pakar industri dari 80 syarikat pelayaran di 120 negara di Miami, Florida pada 8 hingga 11 April lalu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, permintaan untuk pelancongan pelayaran telah tumbuh dengan pesat di China dan sedang berkembang di India.

"Kepelbagaian budaya Malaysia dan rantau Asean sememangnya boleh menawarkan pengalaman bercuti yang menarik kepada pelancong-pelancong China dan India.

Iklan

"Kepesatan pelancongan pelayaran juga memberi kesan limpahan ekonomi bagi peruncitan, makanan dan minuman serta perhotelan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Anthony Loke turut mempelawa pengendali kapal pelayaran untuk memanfaatkan infrastruktur pelabuhan di Malaysia termasuk Langkawi Cruise Terminal (LCT), Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) di Pulau Pinang dan Port Klang Cruise Terminal (PKCT).

Iklan

Menurutnya, ia juga melibatkan Melaka International Cruise Terminal (MICT) yang akan datang di pesisiran Selat Melaka serta pelabuhan-pelabuhan Sabah dan Sarawak di sepanjang pesisiran Laut China Selatan.

"Kementerian Pengangkutan (MOT) bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi ‘homeport’ yang terpilih di rantau Asia-Pasifik.

"Industri pelayaran dapat membantu dalam pembangunan rantaian bekalan hijau di Malaysia termasuk ‘shore power’ dan ‘green bunkering’ di Malaysia selaras dengan sasaran pelepasan sifar bersih di bawah Strategi Pertubuhan Maritim Antarabangsa mengenai pengurangan pelepasan gas rumah hijau dari kapal,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!