Pastikan persekitaran rumah selamat, cegah kebakaran

Iklan
Kebakaran menyebabkan kerugian harta benda yang besar kepada penghuni rumah. (Gambar kecil: Wan Md Razali)

SHAH ALAM - Orang ramai perlu mengambil langkah awal dan bersikap lebih berhati-hati sebelum meninggalkan rumah untuk tempoh yang lama bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

Selain mencegah kebakaran akibat litar pintas, usaha pencegahan awal dilakukan dengan betul turut berupaya mengelak kehilangan harta benda.

Iklan
Iklan

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, sebelum meninggalkan rumah, penghuni dinasihatkan supaya memastikan semua suis peralatan elektrik serta kepala tong gas ditutup atau ditanggalkan.

Menurut Wan Md Razali, tindakan awal itu mampu mencegah berlaku litar pintas atau percikan api yang boleh mengundang kebakaran.

Iklan

Katanya, orang ramai diminta memastikan persekitaran rumah berada dalam keadaan selamat termasuk mencegah sebarang kemungkinan kebakaran.

"Sebagai contoh jika ada bahan mudah terbakar di sekitar rumah, pastikan ia disimpan di tempat selamat yang tidak mengundang kepada punca api.

Iklan

"Ini penting bagi memastikan tindakan pantas boleh dilakukan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Wan Md Razali berkata, antara langkah boleh dilakukan orang ramai sebelum meninggalkan rumah adalah memastikan pintu dan tingkap ditutup selain dikunci dengan baik supaya tidak mudah dipecah atau diumpil.

Alat pemadam api sangat berguna ketika membantu memadamkan api akibat kemalangan jalan raya.

"Penghuni kediaman boleh memasang alat keselamatan seperti penggera dan memastikannya berfungsi dengan baik.

"Pastikan semua suis elektrik sentiasa ditutup apabila tidak digunakan dan mencabut soket,” katanya.

Menurutnya, sentiasa elak meletakkan bahan mudah terbakar seperti kadbod, pakaian atau kertas terlalu dekat dengan soket, kabel, suis atau peralatan elektrik.

"Orang ramai disarankan untuk memeriksa dan selenggara sistem pendawaian elektrik di rumah.

"Pastikan segala sistem elektrik berada dalam keadaan baik sebelum meninggalkan rumah,” ujarnya.

Tambahnya, bagi memastikan kediaman berada dalam keadaan selamat, penghuni perlu memaklumkan kepada polis bagi tujuan rondaan keselamatan.

Ditanya mengenai kesilapan atau kealpaan yang sering dilakukan orang ramai semasa meninggalkan kediaman ketika pulang ke kampung, Wan Md Razali berkata, kebanyakan mangsa kebakaran gagal memastikan perkakas elektrik ditutup sepenuhnya.

Tegasnya, demi mengelak berlaku litar pintas atau sebarang masalah berkaitan elektrik, soket perlu dicabut daripada suis.

Menurutnya, orang ramai perlu menutup semua suis soket dan suis peralatan yang tidak digunakan bagi mengurangkan risiko kegagalan pada peralatan atau pendawaian.

"Begitu juga peralatan memasak dengan mencabut kepala gas apabila tidak berada di rumah agar dapat mengurangkan risiko kebakaran apabila berlaku kebocoran gas,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Md Razali mengakui langkah awal penghuni rumah memeriksa suis elektrik dan bahan bakar mampu mencegah kebakaran atau litar pintas.

"Sebaiknya penghuni rumah membuat pemeriksaan pada suis, soket dan wayar penyambungan serta peralatan lain yang tidak digunakan setiap masa.

"Bahan mudah terbakar seperti kain, kotak, kertas dan seumpamanya tidak digalakkan diletakkan berdekatan dengan sumber elektrik.

"Penghuni boleh membuka lampu kalimantang semasa ketiadaan di rumah, namun yang penting adalah sistem elektrik perlu berada dalam keadaan baik,” jelasnya.

Katanya, pihak bomba berusaha melaksanakan tugas sebaik mungkin demi kesejahteraan orang ramai termasuk menyelamatkan harta benda.

"JBPM Selangor sentiasa bersiap siaga 24 jam dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dengan mempersiapkan keanggotaan, logistik dan jentera demi keselesaan orang ramai ketika pulang berhari raya,” katanya.

INFO: Kebakaran boleh dielakkan

- Pasang alat pengesan asap di pejabat atau rumah dan diselenggara setiap bulan.

- Lengkapi rumah dengan alat pemadam api.

- Sebelum meninggalkan rumah atau pejabat, sila pastikan peralatan elektrik ditutup sepenuhnya.

- Jiran hendaklah dimaklumkan sekiranya meninggalkan rumah dalam tempoh lama.

- Didik anak-anak mengenai bahaya kebakaran.

- Jangan biarkan kanak-kanak kecil bersendirian di rumah.

- Pastikan kanak-kanak tidak boleh mencapai punca api seperti mancis.

- Ketahui nombor balai bomba terdekat atau talian kecemasan 999.

- Buat pemeriksaan keselamatan kebakaran.

- Elakkan daripada menggunakan lebih daripada satu perkakas elektrik pada soket yang sama.

BANTU BOMBA UNTUK MEMBANTU ANDA

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28