Emas naik harga susulan konflik Iran-Israel

Iklan
Harga emas global naik melepasi paras tertinggi baharu iaitu AS$2,420 (RM11,537.30) seauns atau RM370.93 segram susulan laporan awal membabitkan serangan Iran ke atas Israel pada hujung minggu lalu. Gambar hiasan Bernama

SHAH ALAM - Harga emas global naik melepasi paras tertinggi baharu iaitu AS$2,420 (RM11,537.30) seauns atau RM370.93 segram susulan laporan awal membabitkan serangan Iran ke atas Israel pada hujung minggu lalu.

CIMB Treasury and Markets Research dalam satu nota penyelidikan berkata, peningkatan konflik di Asia Barat menyaksikan harga emas melonjak sebelum menyusut kepada AS$2,350 (RM11,203.60) atau RM360.20 segram.

Iklan
Iklan

Katanya, harga minyak mentah turut mengalami kenaikan ekoran konflik Asia Barat itu yang kian tegang.

"Harga minyak mentah Brent mengimbangi paras tertinggi harian pada AS$92 (RM440) untuk ditutup 0.8 peratus lebih tinggi kepada AS$90.5 (RM432) setong," katanya.

Iklan

Konflik Asia Barat meningkat apabila Iran melancarkan ratusan peluru berpandu balistik dan dron terhadap Israel pada Sabtu.

Dalam pada itu, CIMB Treasury and Markets Research menjelaskan, hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) turut jatuh mendadak dengan aktiviti penutupan pendek yang menguatkan rali (suatu tempoh kenaikan harga di pasaran) selepas kerugian besar pada Rabu.

Nota penyelidikan CIMB Treasury and Markets Research melaporkan serangan Iran terhadap Israel mencetuskan lonjakan harga emas global.

Iklan

"Hasil dua tahun turun tujuh mata asas (bps) kepada 4.90 peratus selepas menghampiri paras 5.00 peratus sementara hasil 10 tahun ditutup tujuh bps lebih rendah setelah melepasi paras 4.50 peratus ketika dagangan harian sebelum ia mengurangkan keuntungan.

"Indeks dolar AS (DXY) pula meneruskan keuntungan untuk sesi ketiga berturut-turut bagi mencapai paras 106.0 iaitu paras tertingginya sejak Oktober di tengah-tengah jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan mengekalkan kadar faedah lebih tinggi untuk tempoh yang lebih lama," tambahnya.

Bagaimanapun, CIMB Treasury and Markets Research berkata, pengukuhan dolar AS menimbulkan masalah kepada mata wang G10 yang merosot 0.4 hingga 1.5 peratus dengan euro jatuh 0.8 peratus di tengah-tengah keyakinan pasaran yang semakin meningkat terhadap pemotongan kadar Bank Pusat Eropah (ECB) pada Jun lalu.

"Mata wang serantau merosot berbanding dolar AS dengan dolar Singapura susut 0.6 peratus namun ringgit meningkat 0.5 peratus melepasi paras 4.77 selepas dagangan dibuka semula,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28