Individu hina institusi diraja dikenal pasti - Fahmi

Iklan
Fahmi Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengenal pasti individu, yang dipercayai mengeluarkan kenyataan menghina institusi Diraja, khususnya institusi Diraja Selangor.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, MCMC dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, individu terbabit sangat bermasalah dengan lebih 20 kertas siasatan lampau telah dibuka terhadapnya, berkaitan kenyataan jelik sebelum ini.

Iklan
Iklan

"Saya telah minta MCMC mengambil tindakan yang keras dan bersepadu bersekali dengan PDRM, untuk kita pastikan kandungan yang jelik dan menghina institusi Diraja tidak ada dalam platform Facebook. Saya difahamkan kandungan tersebut juga ada di TikTok.

Baru-baru ini, tular seorang individu yang dipercayai telah memuat naik video dengan mengeluarkan kenyataan jelik dan menghina institusi Diraja Selangor.

Iklan

Terdahulu, Fahmi ketika berucap pada perhimpunan tersebut telah meminta MCMC untuk mengambil tindakan yang tegas, terhadap mana-mana pihak yang sengaja menanamkan bibit-bibit perpecahan dan mengapi-apikan sentimen.

Pada masa sama beliau juga meminta kerjasama daripada semua agensi dalam Kementerian Komunikasi supaya menjadi ‘ejen’ untuk menjernihkan keadaan dan membantu mengembalikan keadaan yang tenang.

Iklan

Selain itu Fahmi berkata, RTM juga, perlu mempertingkatkan kandungan serta bahan yang mengetengahkan aspek perpaduan dalam masyarakat.

"Ini penting kerana sewaktu Bapa-bapa Kemerdekaan dan Bapa-bapa Malaysia membentuk negara kita memperoleh kemerdekaan, tidak diidamkan satu suasana porak peranda dan berpecah belah.

"Kepelbagaian dan kerencaman kita sesungguhnya adalah satu kekuatan. Bulan Ramadan ini seharusnya mendidik kita juga untuk bertoleransi, sabar, ada had dan batas serta saling hormat menghormati,” katanya.

Mengenai isu lain, Fahmi berkata, pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU) di peringkat Kementerian Komunikasi, termasuk agensi di bawahnya, telah mencapai hampir 99 peratus.

Beliau berkata, daripada peratusan itu, Institusi Penyiaran Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) telah mencapai 100 peratus pendaftaran PADU. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28