Gaji TVET RM4,000: Kerajaan perlu berani

Iklan
Nordin (Laporan Sinar Harian)

IPOH - Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB) menyambut baik hasrat kerajaan untuk menetapkan gaji minimum RM4,000 buat lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.

Pengerusinya, Nordin Abdul Malek berkata, sebelum dilaksanakan hasrat itu, kerajaan mesti menjelaskan secara terperinci definisi TVET yang sebenar kerana lepasan golongan ini terbahagi kepada tiga iaitu separa mahir, mahir dan berkemahiran tinggi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, gaji minumum sebanyak RM4,000 yang dicadangkan itu perlu dijelaskan untuk golongan yang mana bagi mengelak sebarang kekeliruan dan menimbulkan polemik.

"Tetapi saya berasa sedikit gusar adakah angka itu menggambarkan keseluruhan lepasan TVET atau golongan tertentu seperti mereka yang berpengalaman. Saya bimbang isu ini akan jadi polemik di antara majikan dan lepasan TVET sebab tak dinyatakan definisi sebenar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Nordin berkata, isu gaji minimum lepasan TVET bukanlah perkara baharu kerana pihaknya sendiri pernah mencadangkan perkara tersebut.

Jelasnya, sebelum ini mereka mencadangkan gaji permulaan untuk lepasan yang memiliki sijil kemahiran yang setara dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 sekurang-kurangnya RM2,000 hingga RM2,500 sedangkan gaji minimum ditetapkan kerajaan untuk semua sektor sekarang hanyalah RM1,500.

Iklan

Dalam pada itu, beliau menjelaskan pelaksanaan gaji minimum untuk lepasan TVET juga memerlukan kesungguhan dan keberanian kerajaan memastikan majikan bersetuju menerima hasrat tersebut.

"Persoalannya, bolehkah kadar gaji minimum untuk lepasan TVET ini dikuatkuasakan kepada majikan jika ingin dilaksanakan. Adakah majikan akan menerimanya? Gaji ini sepatutnya diberikan supaya kita lebih kompetitif.

"Selain itu, sejauh mana kerajaan berani menguatkuasakan pekerja sektor yang memerlukan kemahiran diwajibkan mempunyai sijil kemahiran sebagai pengendali. Kita sepatutnya mempunyai sistem yang mewajibkan pekerja sektor ini mempunyai sijil kemahiran," katanya.

Pada 5 Mac lalu, Ahmad Zahid memaklumkan kepada Parlimen bahawa kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan agar gaji bagi graduan TVET ditawarkan lebih RM4,000.

Menurutnya, cadangan itu antara yang diberi perhatian dalam usaha memperkasakan sektor TVET di negara ini.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28