BNM pantau tukaran hasil eksport untuk perkukuh ringgit

Iklan
Bank Negara Malaysia

BANK Negara Malaysia (BNM) meningkatkan usaha libat urus dan memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit oleh syarikat pengeksport dalam usahanya untuk mengukuhkan kembali nilai mata wang tempatan.

Kementerian Kewangan berkata, bank pusat juga meneruskan usaha menggalakkan penggunaan mata wang tempatan untuk penyelesaian eksport bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pergerakan dolar AS.

Iklan
Iklan

"BNM turut mengawal pelaburan luar negara oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC/GLICs) untuk mengurangkan tekanan kepada ringgit. Ini termasuk menggalakkan syarikat-syarikat ini untuk mengutamakan pelaburan domestik serta menangguhkan pelaburan luar negara yang baharu.

Kementerian Kewangan berkata demikian sebagai menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit GelugoR) berkenaan langkah-langkah yang telah diambil kerajaan untuk mengukuhkan ringgit.

Iklan

Menurutnya, risiko daripada pergerakan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS juga dapat dikurangkan melalui penggunaan instrumen lindung nilai, penekanan kepada pinjaman luar negara yang berhemah dan kedalaman pasaran mata wang dalam negeri yang tinggi.

"Kesemua faktor ini dijangka dapat memastikan keperluan perniagaan dipenuhi dengan berkesan, manakala kos dan keperluan mata wang asing diuruskan dengan cekap.

Iklan

"Akhir sekali, dalam mengambil pendekatan yang melibatkan seluruh negara, rakyat Malaysia juga digalakkan untuk melancong dalam negara dan membeli barangan tempatan kerana ia bukan sahaja menjimatkan wang malah dapat meningkatkan pemulihan ekonomi negara,” kata kementerian itu. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28