Wisma Putra sedia beri penjelasan kepada kerajaan UAE

Iklan

PUTRAJAYA - Wisma Putra telah mengambil tindakan proaktif bagi meminimumkan sebarang isu yang mungkin timbul susulan pendedahan rakaman dipercayai perbualan antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Putera Mahkota Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al-Nahyan.

Menurut laporan Astro Awani, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, antara tindakan yang lazimnya diambil ialah Duta atau Pesuruhjaya Tinggi Malaysia mengadakan pertemuan dengan Kementerian Luar negara yang terbabit.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi akan bertemu dengan wakil Kementerian Luar UAE sekiranya pihak berkenaan mahu mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pendedahan berkenaan.

"Kami di Kementerian Luar telah mengambil tindakan yang lazim, (iaitu) apabila ada isu berlaku, ada cara kami untuk menghubungi mereka atau tindakan yang berkaitan bagi menjelaskan keadaan,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Wisma Putra dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Iklan

Berdasarkan sidang akhbar khas pendedahan rakaman perbualan yang diadakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, Najib didakwa Sheikh Mohamed bagi mendapatkan bantuan berhubung dana pembiayaan filem anak tirinya, Riza Aziz.

Ditanya mengenai kemungkinan perkara tersebut bakal menjejaskan hubungan diplomatik antara dua negara, Saifuddin berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut.

Iklan

Katanya, wujud kemungkinan rakaman audio perbualan berkenaan boleh dijadikan bahan bukti di mahkamah dan sebarang komen lanjut Wisma Putra boleh menyebabkan kementerian berada dalam keadaan yang janggal.

ARTIKEL BERKAITAN:

SPRM-bongkar-audio-konspirasi-jenayah-libatkan-Najib-Rosmah