Prosiding bela diri Ku Nan esok ditangguh 17 Januari

Iklan
Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR - Prosiding bela diri bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atas dakwaan menerima suapan RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan yang dijadualkan bermula esok di Mahkamah Tinggi di sini ditangguhkan kepada 17 Januari.

Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim berkata, pada pengurusan kes Disember tahun lepas, Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh baharu iaitu 17 hingga 22 Jan serta 25 hingga 27 Mac untuk Tengku Adnan menyangkal pertuduhan yang dihadapinya.

Iklan
Iklan

"Tengku Adnan akan memberi keterangan bersumpah di kandang saksi pada hari pertama prosiding bela diri itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Keterangan secara bersumpah daripada kandang saksi bermakna tertuduh tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Iklan

Pada 14 Oktober tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengarahkan Tengku Adnan, 69, membela diri atas pertuduhan menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd Tan Sri Chai Kin Kong, 61, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Setiausaha Agung UMNO itu.

Peguam Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili Tengku Adnan memberitahu mahkamah bahawa pasukan pembelaan akan memanggil lima atau enam saksi untuk memberi keterangan.

Iklan

Pendakwaan mengakhiri kesnya pada 2 Ogos tahun lepas selepas 23 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula 2 Julai tahun lalu.

Pada 23 Jan tahun lepas, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamed Zaini atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan didakwa telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM2 juta daripada Chai melalui cek Hong Leong Islamic Bank milik Aset Kayamas.

Cek itu didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang Tengku Adnan mempunyai kepentingan, yang diketahui syarikat Aset Kayamas ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara, di sini pada 14 Jun 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan juga menghadapi pertuduhan lain atas dakwaan menerima suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada ahli perniagaan Datuk Tan Eng Boon melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank kepunyaannya (Tengku Adnan).

Perbuatan itu didakwa dilakukan sebagai upah untuk membantu permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) bagi menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur diluluskan oleh DBKL.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Tingkat 2, Blok Podium, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, di sini pada 27 Disember 2013.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Tengku Adnan turut menghadapi pertuduhan pilihan iaitu didakwa telah menerima wang berjumlah RM1 juta yang merupakan barangan berharga daripada Tan tanpa sebarang balasan melalui cek Public Bank bernombor 300109 ke dalam akaun tertuduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah bermula pada 20 September tahun lalu dan akan bersambung pada 18 hingga 20 Februari manakala Mac pada 4,5,9,10,11 dan 31. - Bernama