Pusat jagaan, rawatan ibu bersalin tanpa lesen diserbu

Iklan
Pusat jagaan dan rawatan ibu bersalin haram yang diserbu MBDK di Klang pada Isnin.

KLANG - Kegiatan sebuah pusat jagaan dan rawatan ibu bersalin beroperasi secara haram di Bandar Bukit Raja dekat sini mengundang padah apabila digempur pihak berkuasa pada Isnin.

Serbuan kira-kira jam 12.45 tengah hari itu dijalankan dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Iklan
Iklan

Pengarah Komunikasi Korporatnya, Norfiza Mahfiz berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan dan maklumat awam.

"Siasatan lanjut mendapati kediaman yang dijadikan premis perniagaan itu beroperasi tanpa lesen perniagaan sah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Iklan

Norfiza memberitahu, MBDK mengeluarkan satu kompaun kepada wakil syarikat itu iaitu pekerja premis terbabit.

"Ini kesalahan serius kerana melibatkan bayi dan ibu yang melahirkan anak selain mendatangkan risiko jika berlaku kecuaian,” ujarnya.

Iklan

Dalam pada itu, Norfiza berkata, kes disiasat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3 (1) UUK Pusat Kecantikan Dan Penjagaan Kesihatan (MPK) 2013.

Beliau berkata, pihaknya turut menyerbu premis industri yang beroperasi tanpa lesen dan menyebabkan kacau ganggu di Jalan Haji Abdul Manan dekat sini.

"Dua kompaun di bawah UUK3 Undang Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007 turut dikeluarkan atas kesalahan itu.

"Penguatkuasaan seumpama itu akan diteruskan dan MBDK tidak akan berkompromi terhadap pihak yang ingkar peraturan ditetapkan," jelasnya.