PASM nilai potensi murid berkeperluan khas

Iklan
KPM sentiasa berusaha memperkasakan pendidikan MBPK menerusi pengiktirafan, motivasi dan keyakinan bahawa mereka mempunyai potensi untuk cemerlang dalam sesuatu bidang. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) yang tamat persekolahan diharapkan mempunyai sekurang-kurangnya kemahiran asas bagi membantu menceburi bidang pekerjaan bersesuaian dengan tahap keupayaan seterusnya menyumbang kepada pembangunan Malaysia Madani.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan berkata, inisiatif itu diterjemahkan menerusi sistem Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah (PASM) sebagai pentaksiran khusus untuk mentaksir kemampuan dan kebolehan MBPK bagi membangunkan potensi berdasarkan konsep mengesan kebolehan dalam ketidakbolehan.

Iklan
Iklan

"KPM sentiasa berusaha memperkasakan pendidikan MBPK menerusi pengiktirafan, motivasi dan keyakinan bahawa mereka mempunyai potensi untuk cemerlang dalam sesuatu bidang.

"Usaha murni pelaksanaan PASM membuktikan komitmen berterusan KPM untuk memastikan ekuiti dan kesamarataan pendidikan untuk semua murid seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Iklan

Menurut kenyataan itu, PASM merangkumi lima domain utama, iaitu Kerohanian dan Nilai Murni, Akademik Fungsian, Pembangunan Personal dan Kemahiran, Interpersonal, Hidup Berdikari dan Pembangunan Kerjaya.

Ujarnya, ibu bapa atau penjaga MBPK juga dapat mengetahui perkembangan pembelajaran anak-anak menerusi kaedah pentaksiran alternatif itu.

Iklan

"PASM bertujuan mengiktiraf kebolehan dan keupayaan MBPK menerusi penganugerahan Sijil Alternatif Sekolah Menengah (SASM).

"MBPK di sekolah menengah yang tidak menduduki Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) atau Sijil Vokasional Malaysia (SVM) boleh menduduki PASM dan memperoleh SASM,” menurut kenyataan berkenaan.

Tambahnya, PASM terbuka kepada semua MBPK yang berada di institusi pendidikan berdaftar dengan KPM dan dilaksanakan secara berterusan ketika calon PASM berada pada peringkat menengah dengan menggunakan Environment-based Assesment Instrument (EBAI) dan Dokumen Standard Pentaksiran Alternatif.

"PASM dilaksanakan secara sistematik dan berbantukan teknologi bermula daripada pendaftaran hingga ke pensijilan SASM,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28