Blok pembangkang Sarawak lumpuh, GPS perkukuh dominasi
Iklan
PSB telah dibubar secara rasmi pada Sabtu dan menyertai PDP yang diketuai Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing. (Gambar kecil: James (kiri), Jawun)
KEPUTUSAN Parti Sarawak Bersatu (PSB) untuk dibubarkan bagi memberi laluan tiga Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN) menyertai parti dalam kerajaan negeri bakal menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kini tidak mempunyai blok pembangkang jelas dan dianggap lumpuh.
Pengarah Pengajian Asia Universiti Tasmania, Profesor Dr James Chin berkata, tindakan tiga ADUN PSB yang sebelum ini mewakili blok pembangkang DUN Sarawak menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP) yang menganggotai Gabungan Parti Sarawak (GPS) - parti koalisi mentadbir kerajaan negeri - turut menyebabkan blok pembangkang kini hanya diwakili dua ADUN dari DAP, manakala seorang lagi ADUN Bebas.