Kerajaan tidak serius perkasa industri beras - Ronald

Iklan
Ronald Kiandee

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mendakwa kerajaan tidak serius dalam memperkasakan industri padi beras dan gagal menangani kos sara hidup rakyat.

Beliau berkata, dakwaan tersebut dibuat susulan pengumuman Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengenai Beras Putih Malaysia Madani.

Iklan
Iklan

"Ia merupakan satu pengumuman yang janggal dari segi pentadbiran kerajaan dan tidak mematuhi peruntukan undang-undang lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan penguatkuasaan akta.

"Janggal kerana secara lazimnya, suatu task force tidak membuat keputusan namun hanya memberi cadangan kepada jawatankuasa pemandu yang mana dalam hal ini NACCOL dipengerusikan oleh Perdana Menteri,” katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Jumaat.

Iklan

Pada 14 Januari lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kilogram (kg) sekampit.

Katanya, pelaksanaan tersebut berkuat kuasa 19 Februari ini dan dijangka berada di pasaran bermula 1 Mac.

Iklan

Mengulas lanjut, Ronald memaklumkan bahawa pengumuman yang dibuat Syed Abu Hussin itu tidak melibatkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan malah libat urus juga dipercayai tidak menyeluruh.

Ujar beliau, Kerajaan Madani perlu insaf bahawa masalah kehilangan beras putih tempatan (BPT) sejak September tahun lalu berpunca daripada keputusan pentadbiran meluluskan permohonan Bernas menaikkan harga runcit beras putih import (BPI) sehingga RM3.60 sekilogram.

"Saranan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) pada sidang lalu, menggesa kerajaan mengkaji semula harga runcit beras pada RM2.60 sekilogram.

"Seterusnya, harga lantai padi pada RM1,300 per tan dengan niat untuk menyelaraskan dengan kenaikan harga runcit BPI perlu diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.

Jelas Ronald, industri padi beras negara adalah suatu pengeluar penting demi sekuriti makanan negara kerana sejak sekian lama kerajaan meletakkan sasaran pengeluaran beras negara pada nisbah 70:30.

"70 peratus pengeluaran tempatan dan 30 peratus import.

"Mengekalkan pengeluaran pada tahap 70 peratus daripada tahap sara diri (SSL) penting untuk sekuriti makan negara,” ujarnya.